PERKIM perlu perbaharui pendekatan dakwah, dekati generasi muda menerusi teknologi digital

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari bergambar kenangan bersama barisan kepimpinan PERKIM Pusat dan PERKIM Sarawak pada majlis berkenaan.

KUCHING, 25 Oktober: Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) perlu memperbaharui pendekatan dakwah dengan memanfaatkan teknologi digital bagi memperluas penyampaian ilmu Islam dan mendekati golongan muda.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan platform digital dan media sosial mampu membantu pertubuhan itu menyebarkan mesej dakwah kepada khalayak yang lebih luas, selain menyesuaikan kaedah penyampaian dengan perkembangan semasa.

Beliau yang juga Yang Dipertua PERKIM berkata, golongan muda merupakan kumpulan penting yang perlu didekati melalui kaedah penyampaian yang sesuai dengan persekitaran serta cara mereka mendapatkan maklumat.

Sehubungan itu, PERKIM perlu meneroka penggunaan teknologi sebagai medium untuk memperkukuh pendidikan Islam, meningkatkan kefahaman agama dan menggalakkan penyertaan generasi muda dalam aktiviti dakwah.

SUASANA Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Ke-65 di Hotel Pullman Kuching, malam ini. Foto Ukas

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Ke-65 di Hotel Pullman Kuching, malam ini.

Abang Johari turut menekankan bahawa pembaharuan pendekatan dakwah perlu disertai penyampaian yang berhikmah dan sederhana, selain mengambil kira kepelbagaian latar belakang masyarakat.

Pendekatan sedemikian penting bagi memastikan mesej Islam dapat disampaikan secara berkesan, khususnya dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Beliau turut mengingatkan bahawa teknologi digital bukan sekadar medium untuk memperluas capaian dakwah, malah perlu dimanfaatkan bagi membina kefahaman agama dan memupuk hubungan baik dalam kalangan masyarakat.

Oleh Afiq Sallehi