Roy umum peruntukan RM115,000 perkasa kemudahan SK Ulu Engkari

Facebook
WhatsApp
ROY Angau Gingkoi merasmikan Majlis Santapan Kasih SK Ulu Engkari 2026 yang bertemakan “Under Country Sky” di Bandar Simanggang. Foto Roy Angau Gingkoi

SIMANGGANG, 25 Oktober: Sebanyak RM115,000 diumumkan bagi membiayai kerja-kerja baik pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Engkari serta menyokong pelaksanaan program Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Peruntukan itu diumumkan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi ketika berucap merasmikan Majlis Santapan Kasih SK Ulu Engkari 2026 bertemakan Under Country Sky di Bandar Simanggang, semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM100,000 diperuntukkan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih sekolah berkenaan.

Selain itu, Roy turut mengumumkan sumbangan RM15,000 kepada PIBG SK Ulu Engkari bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada warga sekolah.

“Saya berharap peruntukan berkenaan dapat membantu meningkatkan kemudahan sekolah serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif untuk murid,” katanya.

Menurut Roy, sokongan kepada pihak sekolah dan PIBG amat penting bagi memastikan keperluan pendidikan diberikan perhatian sewajarnya, selain membantu menjayakan pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada perkembangan murid.

Majlis berkenaan turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pihak pengurusan sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti setempat.

Roy turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan sekolah, PIBG, guru, ibu bapa serta semua pihak yang berganding bahu menjayakan majlis itu.

Beliau berharap kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti terus diperkukuh bagi memastikan pelbagai inisiatif pendidikan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan murid.

Katanya, komitmen bersama amat penting untuk membangunkan pendidikan yang lebih baik serta memberikan peluang kepada murid SK Ulu Engkari untuk mengembangkan potensi dan mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik serta kokurikulum.

Oleh Adi Safarman