Anak tedung hitam sepanjang 0.9 meter ditemui di tepi tilam

Facebook
WhatsApp

SPAOH, 25 Oktober: Seorang penduduk di Kampung Bungin, di sini, berdepan detik mencemaskan apabila seekor anak ular tedung hitam ditemui menjalar di dalam bilik tidurnya, semalam.

Kehadiran reptilia berbisa itu disedari selepas pengadu ternampak kelibat seekor ular berwarna hitam di dalam bilik berkenaan sebelum mengesyaki ia daripada spesies berbahaya.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Spaoh, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Spaoh menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.05 malam.

Susulan laporan tersebut, seramai tiga anggota Skuad Charlie APM yang diketuai Sarjan Pertahanan Awam (PA) Kamarrul Badarudin segera bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.

Setibanya di lokasi, anggota APM melakukan pemeriksaan rapi di sekitar bilik tidur sebelum berjaya mengesan reptilia itu di tepi tilam selepas kira-kira lima minit pencarian.

Ular berkenaan dikenal pasti sebagai anak ular tedung hitam daripada spesies Equatorial Spitting Cobra (Naja sumatrana) dengan panjang kira-kira 0.9 meter. Spesies itu berbahaya kerana berupaya menyembur racun serta mempunyai gigitan berbisa.

Berkat tindakan pantas dan kemahiran anggota APM, ular berkenaan berjaya ditangkap menggunakan peralatan penyepit tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Reptilia itu kemudian dimasukkan ke dalam kotak khas untuk haiwan berbisa sebelum dibawa keluar dari kawasan kediaman bagi membolehkan ia dilepaskan semula ke habitat asal yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.

APM menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba menangkap atau menghampiri ular yang ditemui, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada APM Daerah Spaoh menerusi talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.

Oleh Adi Safarman