KABONG, 25 Oktober: Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Michael Plassu bakal menikmati pelbagai kemudahan baharu menerusi peruntukan berjumlah RM800,000 bagi melaksanakan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027, dua projek utama dikenal pasti dengan jumlah peruntukan RM600,000.
Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan pembinaan baharu astaka dan sistem perparitan SK Saint Michael Plassu bernilai RM300,000 serta pembinaan gelanggang futsal komuniti di Plassu dengan kos RM300,000.
Selain itu, sekolah berkenaan turut menerima kelulusan bantuan dana Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sebanyak RM200,000 bagi menaik taraf dewan serba guna sedia ada kepada gelanggang berbumbung terbuka, termasuk penyediaan peralatan dan pemasangan sebuah unit skrin diod pemancar cahaya (LED).
“Secara keseluruhannya, jumlah peruntukan bagi ketiga-tiga projek ini adalah RM800,000 yang akan memberi impak positif kepada pembangunan pendidikan serta kemudahan komuniti di kawasan ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Naib Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong, John Jemat, mewakili ADUN Kabong menghadiri Majlis Makan Malam Pengumpulan Dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Saint Michael Plassu yang berlangsung di sini semalam.
Chee Kadir berharap kemudahan yang bakal disediakan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pelajar, guru dan masyarakat setempat bagi meningkatkan kualiti pembelajaran serta menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan mengekalkan semangat kerjasama, perpaduan dan keharmonian antara pihak sekolah, PIBG serta komuniti dalam usaha membina masa depan yang lebih cemerlang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, PIBG dan jawatankuasa penganjur atas jemputan serta komitmen dalam menjayakan majlis berkenaan.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terus memberikan sokongan terhadap pembangunan pendidikan dan kemudahan komuniti setempat, sekali gus memperkukuh kesejahteraan masyarakat di kawasan Kabong.
Oleh Adi Safarman




