130 peserta GEMA@KKDW didedah ilmu keselamatan kebakaran di Sungai Gemuan

Facebook
WhatsApp
PESERTA belajar cara mengendalikan alat pemadam api dengan cara yang betul. Foto BBP Bintangor

BINTANGOR, 25 Oktober: Lebih kurang 130 peserta Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) mendapat pendedahan mengenai keselamatan kebakaran, khususnya kaedah menangani kebakaran di dapur dan penggunaan alat pemadam api, di Kampung Darul Falah, Sungai Gemuan semalam.

Program yang melibatkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor tersebut memberikan penekanan terhadap pendidikan pencegahan kebakaran dan kemahiran asas menghadapi situasi kecemasan dalam kalangan masyarakat setempat.

Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, penglibatan pihak bomba dalam program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko kebakaran.

“Melalui program ini, masyarakat diberikan penerangan mengenai keselamatan kebakaran, termasuk tatacara pemadaman kebakaran di dapur dan pengenalan kepada alat pemadam api.

DEMONSTRASI pemadaman api antara pengisian Program GEMA@KKDW di Sungai Gemuan, Bintangor. Foto BBP Bintangor

“Pendedahan ini penting bagi meningkatkan pengetahuan penduduk mengenai langkah pencegahan dan tindakan awal apabila berhadapan dengan kejadian kebakaran,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, seramai lima anggota BBP Bintangor terlibat dalam menjayakan pengisian keselamatan kebakaran sempena Program GEMA@KKDW di Kampung Darul Falah, Sungai Gemuan.

Katanya, aktiviti yang bermula pada 10.00 pagi turut merangkumi demonstrasi penggunaan alat pemadam api.

“Selain ceramah kesedaran kebakaran, anggota bomba turut mengadakan demonstrasi pemadaman menggunakan alat pemadam api supaya peserta dapat memahami kaedah penggunaannya dengan lebih jelas.

“Program ini juga menjadi ruang untuk mendekatkan perkhidmatan bomba kepada masyarakat melalui aktiviti pendidikan keselamatan secara langsung.

“Aktiviti Celik Suri turut menjadi sebahagian daripada pengisian program bagi memperluas pendedahan keselamatan kepada peserta,” katanya.

Tambahnya, pendidikan keselamatan kebakaran perlu diberikan perhatian secara berterusan kerana pengetahuan asas yang betul dapat membantu mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.

“Kesedaran mengenai bahaya kebakaran perlu dipupuk dalam kehidupan seharian supaya masyarakat lebih berwaspada dan mengetahui tindakan yang perlu diambil apabila berlaku kecemasan,” katanya lagi.

Oleh Earl Anek