Banjir di Argentina: Dua maut, lebih 2,000 dipindahkan

Facebook
WhatsApp
KEADAAN rumah yang ditenggelami banjir susulan limpahan Sungai Parana akibat hujan lebat dan pembukaan pintu limpahan Empangan Hidroelektrik Yacyreta dirakam di Corrientes, Argentina. Foto AFP

ISTANBUL, 25 Oktober: Banjir di timur laut Argentina mengorbankan dua orang dan memaksa lebih 2,000 yang lain meninggalkan rumah mereka, dengan peningkatan paras sungai mengancam komuniti di seluruh rantau itu, lapor Anadolu Ajansi, memetik akhbar Argentina Pagina 12 pada Sabtu.

Hujan lebat menyebabkan paras sungai Parana, Uruguay dan Iguazu meningkat, menjejaskan komuniti berhampiran sempadan Argentina dengan Brazil, Paraguay dan Uruguay, menurut laporan itu.

Di wilayah Chaco di timur laut Argentina terutamanya di Puerto Vilelas dan Barranqueras, antara 1,200 dan 1,300 penduduk meninggalkan rumah mereka, kata Timbalan Setiausaha Perlindungan Awam wilayah Gustavo Santos pada Jumaat.

“Ini akan berterusan selama beberapa bulan. Sungai akan terus naik dan turun secara berterusan,” kata Santos.

Di wilayah jiran Corrientes, di timur laut Argentina, lebih 1,000 orang telah meninggalkan rumah mereka, menurut laporan pertahanan awam yang dikeluarkan pada Rabu.- Bernama-Anadolu