JKR Sarawak perkasa transformasi digital, raih pengiktirafan CIOB Malaysia

Facebook
WhatsApp
JKR Sarawak menerima Anugerah Kecemerlangan Inovasi Digital bagi kategori Transformasi Sektor Awam anjuran CIOB Malaysia di Kuala Lumpur. Foto JKR Sarawak

KUALA LUMPUR, 24 Oktober: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerima Anugerah Kecemerlangan Inovasi Digital bagi kategori Transformasi Sektor Awam anjuran Institut Bertauliah Pembinaan Malaysia (CIOB Malaysia), sekali gus mengiktiraf usaha jabatan itu dalam memperkukuh inovasi digital dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Menurut kenyataan JKR Sarawak, anugerah berkenaan disampaikan pada Majlis Makan Malam Jubli Emas dan Malam Anugerah CIOB Malaysia 2026 yang berlangsung di ibu negara semalam.

Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia), Dato Ir Yusuf Abd Wahab, yang mewakili Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Dalam ucapannya, Yusuf menegaskan komitmen CIDB untuk menyokong pembangunan infrastruktur yang memenuhi keperluan masa hadapan, selain memperkukuh daya saing pemain industri pembinaan tempatan agar mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan di peringkat antarabangsa.

Beliau turut menekankan kepentingan pelaburan dalam pembangunan generasi baharu tenaga teknikal, termasuk melalui penyediaan pengetahuan dan bimbingan bagi membentuk keupayaan kepimpinan dalam kalangan golongan muda.

Menurut beliau, keperluan masa hadapan menuntut kerjasama yang lebih erat antara pihak berkepentingan dalam industri pembinaan.

Sehubungan itu, CIOB Malaysia dilihat memainkan peranan penting dalam membangunkan industri pembinaan yang berdaya saing, manakala CIDB berharap kerjasama antara kedua-dua organisasi dapat terus diperkukuh.

Bagi JKR Sarawak, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan berkenaan dalam melaksanakan inovasi digital dan transformasi sektor awam, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.

Usaha itu turut menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang menggariskan transformasi digital dan inovasi sebagai antara pemangkin utama pembangunan Sarawak ke arah masyarakat makmur yang dipacu oleh data dan inovasi.

JKR Sarawak akan terus menerapkan pendekatan inovatif bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta menyokong pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat.

Pengiktirafan itu turut menjadi pemangkin kepada jabatan berkenaan untuk terus memperkukuh keupayaan, memperluas penggunaan inovasi digital dan menyumbang kepada kemajuan sektor pembinaan di Sarawak.

Oleh Adi Safarman