SIBU, 24 Oktober: Masjid dan surau di Sarawak perlu memperluas peranan sebagai pusat pembangunan masyarakat dengan menyediakan pengisian ilmu yang merangkumi pelbagai bidang, termasuk kesihatan dan keibubapaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, jawatankuasa masjid dan surau perlu mengambil inisiatif menjemput pakar dalam bidang berkaitan untuk berkongsi pengetahuan dengan masyarakat, sekali gus menjadikan institusi berkenaan lebih dekat dengan keperluan komuniti setempat.
Menurutnya, peranan masjid tidak seharusnya terhad kepada tempat ibadah dan pengajian agama, sebaliknya perlu turut menyumbang kepada pembangunan ilmu dan peningkatan kualiti kehidupan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Muktamar Pengurusan dan Pengimarahan Masjid Sarawak 1448H/2026M Zon Tengah di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.
Fadillah turut menyarankan penggunaan teknologi bagi memperluas penyebaran ilmu, termasuk melalui jaringan siaran langsung program antara masjid dan surau.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan menjaga kebersihan masjid dan surau, khususnya kemudahan tandas, sebagai cerminan nilai kesucian yang dituntut dalam Islam.
Katanya, amalan kebersihan perlu menjadi sebahagian daripada asas pengurusan dan pentadbiran masjid bagi memastikan institusi berkenaan sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selesa untuk kegunaan masyarakat.
Selain pembangunan institusi masjid, Fadillah berkata, umat Islam di Sarawak juga perlu terus meningkatkan penguasaan ilmu, kekuatan ekonomi dan akhlak bagi memastikan mereka mampu menghadapi cabaran seiring dengan kemajuan negeri.
Beliau berkata, konsep Khairu Ummah atau umat terbaik hanya dapat direalisasikan apabila nilai Islam diterapkan dalam kehidupan seharian dan diterjemahkan melalui tingkah laku serta pencapaian masyarakat.
“Di Sarawak ini, kita tidak mempunyai kuantiti jemaah yang ramai, tetapi kuantiti tidak penting, kualitilah yang kita perlukan. Kualiti ini hanya akan wujud kalau kita dapat benar-benar menerapkan nilai Islam dalam kalangan masyarakat kita,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan yang dicapai perlu disusuli usaha berterusan untuk mengekalkan kecemerlangan, termasuk dalam aspek pendidikan, kemahiran dan pengurusan masyarakat.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha; Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Datu Mual Suaud; Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said dan Pengarah Jabatan Mufti Sarawak, Ustaz Ahmad Sukarno Saini.
Oleh Tarani Lanting





