SIMANGGANG, 24 Oktober: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sri Aman terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya menerusi penyertaan dalam Program Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Peringkat Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman.
Menurut kenyataan media JPJ Sarawak, program itu berlangsung di Bilik Seminar, Dewan Suarah Sri Aman, kelmarin, dengan memberi penekanan terhadap kepentingan pemanduan berhemah dan amalan pemanduan defensif dalam kalangan peserta.
Penyertaan JPJ Sri Aman bertujuan meningkatkan pengetahuan serta pemahaman peserta mengenai langkah pencegahan kemalangan dan kepentingan mengutamakan keselamatan ketika menggunakan jalan raya.
Taklimat disampaikan oleh Kastury Hassan yang berkongsi pengetahuan berkaitan amalan pemanduan selamat, pematuhan peraturan lalu lintas serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Antara aspek yang ditekankan ialah kepentingan menjadi pengguna jalan raya yang berdisiplin, sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling dan mengamalkan sikap bertanggungjawab sepanjang perjalanan.
Amalan pemanduan berhemah dan berwaspada turut diberi perhatian sebagai pendekatan pemanduan yang membantu pemandu mengenal pasti potensi bahaya lebih awal serta mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan situasi berisiko.
Kesedaran terhadap keselamatan jalan raya amat penting bukan sahaja untuk melindungi diri sendiri, malah bagi memastikan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.
JPJ Sarawak komited untuk terus menyokong pelbagai inisiatif kesedaran keselamatan jalan raya melalui perkongsian ilmu serta kerjasama strategik dengan pelbagai agensi.
Usaha berterusan itu diharap dapat membentuk pengguna jalan raya yang lebih berhemah, berdisiplin dan bertanggungjawab, sekali gus menyumbang kepada persekitaran jalan raya yang lebih selamat untuk semua.
Oleh Adi Safarman



