Lelaki tempatan ditahan disyaki melakukan ugutan jenayah di Mukah

Facebook
WhatsApp
SUSPEK ketika ditangkap di sebuah rumah panjang di Ulu Tiris 2, Kilometer 46, Jalan Selangau-Mukah, semalam. Foto IPD Mukah.

MUKAH, 24 Oktober: Seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun ditahan setelah disyaki melakukan ugutan jenayah di sebuah rumah panjang di Ulu Tiris 2, Kilometer 46, Jalan Selangau-Mukah, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang wanita berumur 31 tahun didatangi suspek yang dipercayai dalam keadaan mabuk.

Beliau berkata,suspek telah bertanya mengenai individu yang didakwa mahu membuangnya daripada pekerjaan. 

“Suspek kemudiannya mengeluarkan kata-kata ugutan untuk mencederakan dan membunuh suami pengadu serta mengancam keselamatan keluarga pengadu,” katanya dalam kenyataan media hari ini. 

Hasil siasatan awal mendapati suspek dan suami pengadu mempunyai hubungan kekeluargaan serta bekerja sebagai pemotong rumput secara kontrak. 

Walau bagaimanapun, suspek dipercayai telah lama tidak hadir bekerja dan beranggapan dirinya telah dibuang.

Sehubungan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah berjaya menahan suspek pada hari yang sama. 

Dalam pada itu, permohonan reman terhadap suspek telah diluluskan oleh Mahkamah Majistret Mukah selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan polis. 

Justeru, Polis Daerah Mukah menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak atau individu yang melakukan ugutan atau mengancam keselamatan orang awam. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. 

Oleh Adibfahmy