12 pasukan meriahkan Kejohanan Bola Sepak Wanita Piala Roy Angau Gingkoi 2026

Facebook
WhatsApp
ROY Angau Gingkoi merasmikan Kejohanan Bola Sepak Wanita Sembilan Sebelah Piala YB Roy Angau Gingkoi Edisi 1/2026 di Padang Bola Sepak Engkilili. Foto Roy Angau Gingkoi

ENGKILILI, 24 Oktober: Kejohanan Bola Sepak Wanita Sembilan Sebelah Piala YB Roy Angau Gingkoi 2026 menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu serta memperkasa penglibatan wanita dalam sukan bola sepak di kawasan Engkilili dan Lubok Antu.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, penganjuran kejohanan itu bukan sahaja membuka peluang kepada pemain wanita menyerlahkan kebolehan masing-masing, malah membantu meningkatkan kemahiran dan pengalaman dalam sukan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Bola Sepak Wanita Sembilan Sebelah Piala YB Roy Angau Gingkoi Edisi 1/2026 di Padang Bola Sepak Engkilili (MDLA), di sini, semalam.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu dianjurkan oleh Kelab Bola Sepak Croc Legacy dengan penyertaan 12 pasukan.

Menurut Roy, penganjuran pertandingan seumpama itu mampu menggalakkan lebih ramai wanita menceburi sukan bola sepak, sekali gus memperluas peluang mereka untuk mengembangkan potensi dalam bidang sukan.

Selain menjadi medan persaingan sihat, kejohanan tersebut turut memberi ruang kepada pemain membina keyakinan diri, memupuk disiplin serta memperkukuh semangat berpasukan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur atas usaha menjayakan kejohanan berkenaan, selain mengucapkan syabas kepada semua pasukan yang mengambil bahagian.

Roy berharap semangat kesukanan, kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang kejohanan dapat diteruskan bagi membantu memajukan bola sepak wanita di Engkilili dan Lubok Antu.

Penganjuran edisi sulung itu diharap menjadi titik permulaan kepada lebih banyak program pembangunan sukan wanita, sekali gus melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang mampu bersaing pada peringkat lebih tinggi.

Oleh Adi Safarman