SARATOK, 24 Oktober: Seramai 66 peserta mengikuti Kursus Miftahul Quran anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Saratok 2026 yang bertujuan memperbaiki bacaan al-Quran, menguasai asas tajwid serta memperkukuh penghayatan terhadap kitab suci umat Islam itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pembelajaran al-Quran perlu dipupuk secara berterusan dalam kehidupan seharian kerana al-Quran merupakan petunjuk hidup umat Islam.
Menurut beliau, usaha mempelajari al-Quran tidak seharusnya terhad kepada kanak-kanak dan belia sahaja, malah golongan dewasa serta warga emas juga perlu diberikan peluang dan sokongan untuk terus mendalami ilmu agama.
“Saya percaya Program Miftahul Quran mampu membantu peserta memperbaiki bacaan al-Quran, menguasai asas tajwid serta meningkatkan keyakinan untuk membaca kalam Allah SWT dengan lebih baik dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Kursus Miftahul Quran KEMAS Saratok 2026 di Masjid Al Muhtadin Saratok, semalam.
Seramai 66 peserta yang mengikuti kursus berkenaan terdiri daripada kariah Masjid Al Muhtadin Saratok, Surau Darul Muafiqin Taman Seroja Indah serta Masjid Ar Rahim, Kampung Gerigat A dan B.
Mohamad Duri berkata, penganjuran program seumpama itu membuktikan pembangunan masyarakat bukan sahaja tertumpu kepada aspek kemahiran dan ekonomi, malah turut memberi perhatian kepada pembangunan rohani serta pengukuhan ilmu agama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KEMAS Saratok, khususnya pegawai, pendidik masyarakat dan tenaga pengajar yang komited memastikan ilmu al-Quran dapat disampaikan kepada masyarakat dengan berkesan.
Katanya, program seperti itu diharap dapat diteruskan dan diperluas dari semasa ke semasa supaya lebih ramai penduduk di Daerah Saratok berpeluang memperoleh manfaat daripadanya.
Pada masa sama, beliau menyeru ibu bapa, ahli keluarga, pemimpin masyarakat dan jawatankuasa masjid agar bersama-sama menyokong usaha pembelajaran al-Quran bagi membentuk masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia dan mempunyai pegangan agama yang kukuh.
Beliau turut mengingatkan para peserta supaya tidak menjadikan majlis penyampaian sijil itu titik akhir pembelajaran, sebaliknya sebagai permulaan untuk terus memperbaiki bacaan, mendalami al-Quran dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.
“Teruskanlah membaca al-Quran, memperbaik bacaan dan saling membantu antara satu sama lain dalam menuntut ilmu,” katanya.
Beliau berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan, malah kukuh dari segi akhlak, rohani dan penghayatan Islam.
Mohamad Duri turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur, tenaga pengajar dan semua peserta atas kejayaan menjayakan Kursus Miftahul Quran KEMAS Saratok 2026.
Oleh Adi Safarman




