Kesedaran awam penting cegah jenayah siber, seksual terhadap wanita dan kanak-kanak

Facebook
WhatsApp
SIMBOLIK PERASMIAN.. Johnny Pang memukul gong tanda simbolik perasmian Ceramah Jenayah Siber dan Jenayah Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di Bintulu, hari ini.

BINTULU, 24 Oktober: Kesedaran masyarakat terhadap jenayah siber dan jenayah seksual terhadap wanita serta kanak-kanak perlu terus diperkukuh bagi meningkatkan tahap keselamatan dan memastikan golongan terjejas mendapat perlindungan sewajarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, perkembangan teknologi yang semakin canggih bukan sahaja memudahkan urusan harian, malah turut membuka ruang kepada pelbagai bentuk penipuan siber yang semakin sukar dikenal pasti kini.

Menurutnya, Sarawak merekodkan lebih 8,500 kes jenayah siber dengan kerugian hampir RM290 juta dari Januari 2024 hingga September 2026.

Beliau berkata, jenayah siber boleh melibatkan sesiapa sahaja tanpa mengira usia, latar belakang pekerjaan atau tahap pendidikan.

JOHNNY Pang berucap pada Ceramah Jenayah Siber dan Jenayah Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak anjuran Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Bintulu di salah sebuah hotel terkemuka Bintulu, hari ini.

“Kadangkala seseorang menjadi mangsa bukan kerana dia tidak bijak, tetapi kerana penjenayah berjaya mengambil kesempatan ketika mangsa panik, takut atau terlalu percaya.

“Penipu mahu kita panik dan bertindak dengan cepat. Jadi, jangan panik dan jangan terburu-buru. Semak dahulu sebelum membuat sebarang bayaran atau berkongsi maklumat peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Ceramah Jenayah Siber dan Jenayah Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak anjuran Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Bintulu dengan sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), hari ini.

Menurutnya, taktik penipuan kini semakin pelbagai, termasuk penyamaran sebagai pegawai bank atau pihak berkuasa serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan suara dan imej yang meyakinkan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat dan tidak terburu-buru membuat keputusan apabila menerima panggilan atau mesej yang mencurigakan.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan meningkatkan kesedaran mengenai jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak yang memerlukan perhatian serta tindakan bersama masyarakat.

Katanya, kanak-kanak perlu diajar mengenali bahagian tubuh yang tidak boleh disentuh oleh orang lain, memahami sentuhan yang tidak sesuai serta berani meminta bantuan daripada orang dewasa yang dipercayai jika berdepan situasi yang membuatkan mereka berasa tidak selesa.

Beliau berkata, orang dewasa juga perlu mengambil serius setiap aduan atau pendedahan yang dibuat oleh kanak-kanak dan bertindak dengan sewajarnya bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Dengar, lindungi dan dapatkan bantuan yang sewajarnya. Mangsa gangguan atau keganasan seksual memerlukan sokongan dan perlindungan, bukannya dipersalahkan,” katanya.

Tambahnya, masyarakat perlu mewujudkan persekitaran yang selamat supaya mangsa berani tampil mendapatkan bantuan tanpa rasa takut atau malu.

Beliau menegaskan bahawa usaha mencegah jenayah bukan tanggungjawab pihak polis semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk keluarga, institusi pendidikan dan komuniti setempat.

Katanya, masyarakat yang mempunyai pengetahuan dan kesedaran lebih tinggi mampu mengenal pasti risiko lebih awal serta membantu melindungi golongan yang mudah terdedah kepada jenayah.

Beliau berharap program seumpama itu dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat dan menggalakkan orang ramai supaya lebih peka, berwaspada serta berani mendapatkan bantuan apabila berdepan situasi yang mencurigakan.

Oleh Faizah Muzidi