TEBEDU, 24 Oktober: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada menggesa seluruh rakyat di kawasan itu supaya terus memperkukuh perpaduan dan memberikan sokongan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13).
Beliau berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak membuka lembaran baharu kepada rakyat untuk menentukan hala tuju kepimpinan negeri bagi tempoh akan datang.
Dalam kenyataan susulan pengumuman pembubaran DUN Sarawak pada Isnin ini oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Tebedu atas kepercayaan, sokongan padu, kerjasama serta doa sepanjang tempoh penggal pentadbiran.
Simon berkata, perpaduan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang perlu terus dipelihara demi memastikan pembangunan Sarawak dapat diteruskan secara inklusif.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat supaya bersatu hati memberikan sokongan kepada calon GPS bagi mempertahankan kerusi DUN N.21 Tebedu pada PRN13.
Menurutnya, kesinambungan pembangunan amat penting bagi memastikan kawasan luar bandar, khususnya di pedalaman Sarawak, terus menikmati kemajuan dan manfaat pembangunan.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat kesatuan dalam kepelbagaian perlu menjadi asas kepada usaha membangunkan Tebedu agar lebih maju, sejahtera dan makmur.
Simon berharap kerjasama erat antara rakyat dan kepimpinan dapat diteruskan bagi merealisasikan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau turut mengajak masyarakat agar terus berganding bahu dalam mendukung agenda “Sarawak Maju Makmur” demi masa depan yang lebih baik.
“Mancang Tebedu Mancang” menjadi seruan beliau untuk menyemarakkan semangat kebersamaan rakyat dalam menghadapi PRN13 serta meneruskan usaha pembangunan di kawasan Tebedu.
Oleh Adi Safarman





