JKR Sarawak guna struktur lebuh raya bertingkat kurangkan gangguan kawasan sensitif alam sekitar

Facebook
WhatsApp
Hebahan umum JKR

KUCHING, 24 Oktober: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerapkan pendekatan kejuruteraan moden menerusi pembinaan struktur lebuh raya bertingkat bagi meningkatkan jaringan perhubungan selain mengurangkan gangguan terhadap kawasan sensitif alam sekitar.

Pendekatan itu dilaksanakan menerusi tiga projek utama melibatkan kawasan tanah gambut dan habitat hidupan liar di Sarawak.

Menurut kenyataan rasmi JKR, Projek pertama ialah Lebuh Raya Batang Samarahan–Batang Sadong (Pakej A1-B) sepanjang 11 kilometer yang menggunakan struktur bertingkat merentasi kawasan paya gambut bagi meningkatkan hubungan perhubungan tanpa mengganggu keadaan muka bumi sensitif secara berlebihan.

Selain itu, projek Jalan Teku–Pasai Siong ke Kemuyang, Sibu (Pakej 1) sepanjang 700 meter menggunakan struktur lebuh raya bertingkat dengan sistem ‘Segmental Arch System’, iaitu pendekatan kejuruteraan moden dalam pembinaan infrastruktur jalan raya.

Sementara itu, projek Taman Negara Sedilu (Pakej A2) sepanjang 798.6 meter menggunakan struktur viaduk bertingkat bagi meminimumkan gangguan terhadap kawasan tanah gambut dan habitat hidupan liar.

Menurut JKR Sarawak, pelaksanaan ketiga-tiga projek itu mencerminkan komitmen jabatan berkenaan dalam menggabungkan inovasi kejuruteraan, kelestarian alam sekitar dan peningkatan jaringan perhubungan dalam pembangunan infrastruktur untuk rakyat.

Pendekatan itu turut memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang mengambil kira keadaan persekitaran, khususnya di kawasan yang mempunyai ekosistem sensitif.

Oleh Afiq Sallehi