KUALA LUMPUR, 24 Oktober: Niaga hadapan emas dijangka bergerak dalam julat terhad dengan kecenderungan menurun sedikit minggu depan, kata seorang penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa harga emas di pasaran spot dijangka berada sekitar AS$4,000 hingga US$4,050 seauns troy minggu depan.
Sementara itu, RHB Investment Bank (RHB IB) menjangkakan pasaran emas akan mengalami aliran menurun minggu depan selepas niaga hadapan emas COMEX Amerika Syarikat (AS) membentuk graf lilin menurun yang panjang pada Khamis dan ditutup lebih rendah pada AS$4,060.40.
“Bagi mengurus risiko dagangan, paras henti rugi ditetapkan pada AS$4,300,” menurut RHB IB dalam nota penyelidikannya.
Berdasarkan perbandingan minggu ke minggu, kontrak Oktober 2026 susut kepada AS$4,027.60 seauns troy daripada US$4,187.30, manakala kontrak November 2026 turun kepada AS$4,043.60 daripada AS$4,203.70.
Kontrak Disember 2026 pula merosot kepada AS$4,059.20 seauns troy daripada AS$4,220.20. Kontrak Januari 2027, Februari 2027 dan April 2027 masing-masing turut susut kepada AS$4,059.20 daripada AS$4,220.20 sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 503 lot berbanding 365 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka bertambah sedikit kepada 163 kontrak daripada 149 kontrak sebelumnya.
Emas fizikal ditetapkan pada AS$4,048.25 seauns troy pada penetapan harga petang Persatuan Pasaran Jongkong London (LBMA) pada 22 Oktober 2026.- Bernama





