ANKARA, Turkiye, 24 Oktober: Seorang lelaki gelandangan di Turkiye mengaku sengaja melakukan kesalahan menghina Presiden Recep Tayyip Erdogan bagi mendapatkan makanan dan tempat tidur di penjara, menurut laporan media.
Lelaki berusia 66 tahun itu ditahan atas kesalahan berkenaan di sebuah taman di bandar peranginan Alanya, di selatan negara itu, berhampiran bandar Antalya.
“Saya tiada tempat tinggal dan tidur di tempat pembuangan sampah. Sebab itulah saya berbuat demikian,” katanya kepada mahkamah yang memerintahkan beliau ditahan sementara menunggu perbicaraan atas kesalahan itu, menurut akhbar Sozcu.
Laporan menyebut beliau telah tiga kali cuba melakukan perkara sama sebelum ini, tetapi tidak berjaya ditahan reman sehingga kali ini.
Menghina presiden merupakan kesalahan jenayah di Turkiye yang sering digunakan untuk mengambil tindakan terhadap pengkritik kerajaan.
Beribu-ribu orang, termasuk wartawan, remaja dan bekas Miss Turkiye, telah didakwa atas kesalahan itu.
Walaupun kesalahan berkenaan telah termaktub dalam undang-undang Turkiye selama beberapa dekad, penggunaannya meningkat dengan ketara sejak negara itu beralih kepada sistem presidensial pada 2018.
Statistik Kementerian Kehakiman menunjukkan bahawa dari 2016 hingga akhir 2025, pendakwa raya membuka hampir 83,000 kes berkaitan kesalahan di bawah Artikel 299 hingga 301 Kanun Keseksaan Turkiye. Peruntukan itu meliputi kesalahan menghina presiden, menghina bendera dan lambang negara serta menghina bangsa Turkiye dan institusi negara.
Di bawah Artikel 299, kesalahan menghina presiden boleh membawa hukuman penjara antara satu hingga empat tahun.
-AFP





