PETRA JAYA, 23 Oktober: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bakal menampilkan gabungan calon berpengalaman dan golongan muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, selain mengesahkan terdapat individu yang memilih untuk mengundur diri daripada menjadi calon.
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, senarai calon akan dibincangkan dalam mesyuarat gabungan itu sebelum diumumkan kepada media.
“Apa yang saya boleh ceritakan di sini ialah ia akan menjadi gabungan calon berpengalaman dan golongan muda. Itu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman pembubaran DUN Sarawak, hari ini.
Ditanya sama ada GPS akan menampilkan ramai muka baharu pada pilihan raya kali ini, beliau mengesahkan perkara itu, namun belum dapat menyatakan jumlah atau peratusan calon baharu yang bakal diketengahkan.
“Ada, sudah tentu ada muka baharu,” katanya.
Mengulas sama ada terdapat calon yang digugurkan, Abang Johari menjelaskan bahawa keadaan itu bukan berpunca daripada keputusan menggugurkan calon, sebaliknya terdapat individu yang memilih untuk mengundur diri.
“Bukan digugurkan, ada yang mengundur diri,” katanya.
Beliau berkata, perincian mengenai senarai calon GPS akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat gabungan itu, sebelum satu sidang media diadakan untuk mengumumkan perkembangan lanjut.
Pada PRN Sarawak Ke-12 pada 18 Disember 2021, GPS mengetengahkan 24 muka baharu daripada keseluruhan 82 calon yang bertanding, merangkumi hampir 30 peratus daripada senarai calonnya.
Antara muka baharu yang diketengahkan ketika itu ialah Azizul Annuar Adenan di Tanjung Datu, Wee Hong Seng di Padungan, Adam Yii di Pujut dan Dayang Noorazah Awang Sohor di Lingga.
Pada PRN Sarawak Ke-12 pada 18 Disember 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan DAP memenangi dua kerusi.
Komposisi DUN kemudian berubah apabila ADUN Batu Lintang, See Chee How, keluar daripada PSB pada Ogos 2022 dan menjadi wakil rakyat Bebas.
PSB kemudiannya dibubarkan secara rasmi pada April 2024 selepas mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), dengan bekas pemimpin dan ahlinya menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP).
Tiga bekas ADUN PSB, iaitu Dato Sri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) dan Baru Bian (Ba’kelalan), menyertai PDP. Susulan perkembangan itu, GPS menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN Sarawak, manakala DAP mempunyai dua wakil rakyat dan See Chee How kekal sebagai ADUN Bebas bagi Batu Lintang.
DUN Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober 2026 bagi membuka laluan kepada PRN Ke-13. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.
Oleh Shahrul Qaizat





