PETRA JAYA, 23 Oktober: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa semua pihak, khususnya parti politik, calon dan penyokong, supaya menghormati undang-undang serta menjaga tingkah laku dengan penuh tanggungjawab sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, semua pihak perlu bersama-sama memelihara keamanan, perpaduan dan keharmonian Sarawak sepanjang tempoh pilihan raya bagi memastikan rakyat dapat membuat pilihan secara bebas dan yakin.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi di sini hari ini, ketika mengumumkan pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober 2026 bagi memberi laluan kepada PRN ke-13.
Abang Johari berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran itu bagi membolehkan persiapan pilihan raya dilaksanakan, manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian akan ditentukan serta diumumkan oleh SPR.
Menurutnya, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN, selaras dengan Perlembagaan Negeri Sarawak.
Dalam tempoh berkenaan, kerajaan akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara dengan mematuhi keperluan dan amalan perlembagaan yang berkuat kuasa.
Pentadbiran awam serta perkhidmatan penting juga akan diteruskan bagi memastikan keperluan dan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak atas kepercayaan dan sokongan sepanjang penggal ini, selain menghargai khidmat bakti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta penjawat awam.
Oleh Afiq Sallehi





