Saberkas dijangka terus lahirkan calon muda PRN Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas ke-61 di sebuah hotel di Kuching, hari ini.

KUCHING, 22 Oktober: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) dijangka terus menjadi antara platform melahirkan pemimpin muda yang berpotensi diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Presidennya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, berdasarkan pengalaman pilihan raya terdahulu, sebahagian besar calon yang diketengahkan mempunyai latar belakang dalam Saberkas.

Beliau berkata, penglibatan dalam pertubuhan belia itu memberi pendedahan kepada golongan muda untuk membina kepimpinan, selain membentuk pengalaman dalam organisasi dan masyarakat.

“Jika kita lihat pada pilihan raya lalu, majoriti calon sentiasa datang daripada latar belakang Saberkas. Jadi, saya tidak hairan jika kali ini pun ramai calon yang dipilih berasal daripada Saberkas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas ke-61 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, perkara itu bukan bermakna Saberkas mendesak kepimpinan parti supaya memilih ahlinya sebagai calon, sebaliknya persekitaran dan proses pembentukan kepimpinan dalam pertubuhan berkenaan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada perkembangan pemimpin muda.

“Bukan bermakna kita yang mendesak untuk menempatkan mereka, tetapi suasana, didikan dan pembentukan dalam Saberkas menjadikannya platform yang ideal untuk melahirkan pemimpin masa depan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Saberkas menghimpunkan ahli daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa tanpa sebarang perbezaan, sekali gus membuka ruang kepada golongan muda untuk bergiat dalam organisasi yang menggalakkan penyertaan merentas kaum.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata Saberkas kini mempunyai 57,928 ahli biasa di seluruh Sarawak, dengan 82 cawangan yang lengkap meliputi semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, pencapaian itu merupakan kali pertama pertubuhan berkenaan melengkapkan keseluruhan 82 cawangan, sekali gus memperluas rangkaian organisasinya di peringkat negeri.

Bagi tempoh 1 Julai hingga 30 September lalu, sebanyak 66 program dilaksanakan di peringkat unit, cawangan dan negeri.

Daripada jumlah itu, 43 program dianjurkan sendiri oleh Saberkas, manakala 23 lagi dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi berkaitan.

Program berkenaan merangkumi seminar, bengkel, mesyuarat, taklimat, aktiviti sukan, rekreasi, kebudayaan, kebajikan, keusahawanan serta hal ehwal wanita.