Setahun Lagi Aku Menua
Hari ini
setahun lagi aku menua
namun hayat makin berkurang
kerana dengan tahun menambah
makin dekatlah aku dan pulang.
dan cermin pun bercerita hikayat tua
rambut yang makin putih
gigi yang kian hilang
kedut yang jelas berkerut.
Aku tidak mahu pesta
kek mega atau lilin dan nyala
cukuplah doa dan sebingkis maaf
kerana tidak terjangkau arif
berapa kali lagi pagikah yang bakal menjengah
petang yang sempat membahang
malam yang sudi kelam.
harapnya sebelum aku dijemput,
segala hutang dunia terlunas balas,
cukup amal, cukup bekal,
lalu dikurnia rahmat Ar-Rauf
di kehidupan lain yang menanti.
Hafiz Mustapha
07 September 2026
Sarikei, Sarawak
Mimpi
Bermimpi itu mudah
Tidak perlu katil mewah
Bantal empuk dan lembut
Selimut tebal pun tidak usah
Yakinkah engkau bermimpi indah?
Mimpi itu anugerah
Terkadang sukar ditafsir
Lena dan terjaga jadi mainan
Menjadi igauan setiap insan
Siang dan malam tidak keruan
Mimpi itu percuma
Tidak perlu wang ringgit berjuta
Asal harapan terus bernyala
Bahagia dikecap buat insan yang tidak leka
Nich
Langit di Mata Ibu
Ibu, pelita di jendela malam
tak pernah padam meski angin
menganyam gelap pada urat waktu.
Suaramu, sungai yang meresap ke dadaku
mengalirkan hujan ke dasar lena
menghijaukan tanah yang retak.
Kau menyisir angin dengan jari halus
menyelimuti musim gigil
hingga dadaku kembali teduh
seperti daun mengenal batangnya.
Aku melihat laut di matamu;
ombaknya memendam ribut.
Ibu tidak pernah karam,
hanya menenggelamkan duka
agar kami teguh berdiri.
Kini, ketika sunyi menekan dinding
aku menyebut namamu
dan langit tetap utuh–
kerana ibu masih pelita
tempat segala yang hilang pulang.
Mohd Noor Asa’a





