NASKHAH kreatif yang berkisar tentang aktiviti sukan, secara eksplisit memang jarang ditulis. Bahkan ia kelompangan yang perlu diisi, kerana subjek tentang sukan sama menariknya dengan tema-tema lazim yang mengisi naratif sastera.
Selagi melibatkan hubungan emosi manusia, dengan konflik dan penulisan yang menarik, ia juga membuka perspektif yang tidak pernah dirakamkan. Sukan bukan sekadar pertarungan fizikal dan taktikal. Ia menguji kepekaan dan ketajaman pengarang untuk memindahkan detik-detik euforia kepada pembaca.
Senario ketegangan, debaran, keterujaan dan keriuhan para penonton, menawar suatu pengalaman dramatik yang tidak mudah diluputkan. Namun dalam sinema, ia bukanlah hal baharu.
Namun pengarang Muhamad Nazrul Zawawi mengembalikan semula kenangan bersama-sama kawannya bermain bola sepak di padang Taman Perumahan Sri Harmain.
Tubuh akan berpeluh dan fikiran terangsang segar. Daripada memerap dalam rumah bermain telefon pintar berjam-jam. Kaki bangku ialah jolokan pejoratif kepada mereka yang tidak mahir bermain bola.
Semua orang boleh menendang bola. Termasuk perempuan. Tetapi tidak semuanya mampu bermain seperti bintang-bintang bola sepak terkenal. Namun, berkat latihan intensif, disiplin dan keazaman tinggi, yang mustahil, mampu digenggam.
Saiz badan, besar atau tinggi, bukan jaminan kebolehan seseorang. Bakat dan kreativiti adalah suatu kelebihan individual. Perkara sedemikianlah diceritakan dalam naskhah itu. Namun ada yang sesuatu ingin disampaikan selain daripada bola sepak.
Naskhah bertajuk “Padang”, mengungkit zaman kanak-kanak yang tidak pernah lekang dalam ingatan masing-masing. Pengarangnya mungkin sudah dewasa ketika mengarang naskhah ini.
Setiap yang namanya manusia, walau di mana-mana pun posisi mereka, jawatan dan ketinggian nama di mata masyarakat, hati mulai melebur saat terimbau kenangan lama ketika masih kanak-kanak. Andai mereka bertemu lagi, air mata pasti menitik. Alangkah indahnya kenangan pada ketika itu.
Mengejar dan menyepak bola setiap hari. Tetapi hidup tidak statik pada fasa tertentu. Setiap masa dan period kehidupan, tuntutan kehidupan semakin berbeza. Tiada sesiapa yang ingin bangun pada pagi esok dan berubah menjadi serangga seperti dalam naskhah Metamorfosis, Franz Kafka. Realiti terpaksa dijalani dengan semangat positif.
Melihat padang yang terbiar dan bakal dijadikan tapak pembinaan, menimbulkan pelbagai kesan nostalgia dalam hati. Kisah pahit manis dan lucu seperti baru berlaku kelmarin.
Dan, tempoh masa telah memisahkan secebis kenangan seiring melangkah ke fasa kedewasaan yang serba mendesak untuk menentukan kestabilan kehidupan. Alam pekerjaan merenggut waktu dan persahabatan.
Dunia bergerak ke depan dan suasananya pasti bertentangan. Kanak-kanak yang dahulunya berfikiran tulus bersih, bercampur dengan kanak-kanak berbilang bangsa, pasti merindui keadaan sedemikian.
Begitu singkatnya kegembiraan dipatahkan waktu. Hidupnya menjadi mendatar dan terbeban mematuhi sistem. Masa bagaikan terasa lebih singkat. Adakah ikatan persahabatan terlerai begitu sahaja sebaik sahaja padang dijadikan mangsa pembangunan?
Segala yang indah ketika zaman kanak-kanak, naif dan polos, umpama pelangi menaungi senario kehidupan mereka. Tiada batasan bangsa, agama dan bahasa menjejaskan kegembiraan mereka di atas padang bola sepak. Demikian Yoyok, Abang, Ayub, Walter dan Ah Ping membentuk skuad bola sepak.
Selain mencergaskan diri, tubuh sihat, sukan itu juga mengajar makna kerjasama dan mementingkan prestasi pasukan berbanding memashyurkan diri. Inilah aspek dan kunci kejayaan sesebuah pasukan bola sepak. Ia bukan permainan individu secara perseorangan. Persembahan solo.
Tetapi seni gabungan sebelas anggota pasukan. Semua memainkan peranan, tiada bintang dan tiada keegoan. Kecemerlangan pemain bola sepak seperti Safee Sali atau Joseph Kalang Tie hasil dari kerjasama pasukan.
Tidak kisahlah walau sekadar padang biasa di tepi jalan, permainan bola sepak ialah kemuncak sukan paling popular di atas planet bumi ini. Bagi kaum lelaki, peminat sukan bola sepak, tiada hari tanpa keterikatan mereka dengan bola sepak.
Siang, malam diisi dengan bola sepak. Kepuasan menjaringkan gol sukar diterangkan dengan kata-kata. Ia melibatkan taktikal tepat, teknik jaringan yang diasuh secara berulang-ulang pada sesi latihan.
Ketika di atas padang, kreativiti seseorang pemain membezakannya dengan pemain-pemain lain. Bola sepak bukan sekadar sukan, tetapi kini penyumbang ekonomi kepada pihak yang terlibat menganjurkan pertandingan.
Suatu obsesif yang tidak dimengerti oleh bukan peminat. Ia boleh ditonton dengan datang sendiri ke stadium untuk merasai aura secara langsung. Lebih teruja suasananya. Atau dengan menatap di skrin televisyen dan gajet di telapak tangan. Namun, suasananya tentu tidak semeriah di stadium.
Aktiviti sukan, terutamanya bola sepak, menjadi kegemaran kaum lelaki buat mengisi waktu senggang. Asal-usul bola sepak moden bermula di England pada tahun 1863, manakala pertandingan Piala Dunia pertama dianjurkan di Uruguay pada tahun 1930.
Seperti wabak, sukan ini merebak di mana-mana negara, malah di Iceland hingga ke benua Afrika. Bagai magnet. Lima sahabat yang pada mula tidak saling mengenali, sebaliknya terus menjadi mesra melalui aktiviti bola sepak.
Nama, perangai dan bangsa bukan isu utama. Sukan bola sepak tidak peduli siapa penendangnya. Secara tidak langsung, pengarang naskhah menghantar sebuah mesej, setidak-tidaknya isu kerenggangan kaum boleh dihindari dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti secara bersama-sama. Ia hanya satu contoh. Tidak semestinya hanya melalui aktiviti sukan.
Berselisih kata, bergaduh dan kembali berbaik, hal normal buat kanak-kanak. Inilah yang ajaibnya sukan bola sepak, tanpa mengira perbezaan latar belakang, setiap pemain bersatu hati meraih kemenangan.
Ketua pasukan dilantik untuk mengendalikan emosi anggota-anggota pasukan. Ketenangan, kewibawaan dan kepimpinan yang tegas adalah ciri-ciri yang ada pada ketua pasukan.
Sebiji bola di atas padang menjadi fokus dan harus dikuasai secara kolektif. Ada yang mempertahankan gawang agar tidak dibolosi pihak lawan, manakala pemain di depan berusaha pelbagai cara demi mendapatkan gol jaringan. Tempo permainan, bila waktunya menyerang dan memerangkap pihak lawan harus dikuasai.
Selain menjadi medium sejagat menjalinkan persahabatan dan kemesraan sesama warga setempat, sukan yang menjadi kegilaan nombor satu di Malaysia ini juga kini sudah pun menjadi kerjaya bergaji lumayan.
Apa yang jelas, ia bukan lagi hobi pada waktu petang. Malahan berpotensi menjadi pekerjaan yang mampu menjana kehidupan. Siapa sangka dengan bermain bola sepak seseorang berjaya memiliki empayar kekayaan.
Biarpun pengarang naskhah tidak menyorot dari sudut kerjaya bola sepak secara terperinci, terbukti sukan bola sepak tidak boleh lagi dipandang sekadar aktiviti berseronok pada waktu petang.
Bakat-bakat luar biasa dan istimewa kadang-kadang ditemui di tempat-tempat terpencil, di jalanan kumuh dan di kampung, sebelum dilatih dalam akademi khusus. Namun ada risikonya. Iaitu kecederaan yang melibatkan anggota kaki.
Hampir setiap petang, sekelompok kecil sahabat itu melangkah ke padang kecil di belakang Flat Manok. Walaupun udara di tempat itu berbau ayam, kerana berdekatan dengan kilang ayam, tidak menjadi masalah.
Apa yang penting, mereka dapat bermain bola sepak. Kadang-kadang mereka menggunakan bola pinjaman. Kemudian pada suatu peringkat, mereka mengumpul duit belanja sekolah untuk membayar sewa padang futsal, bahkan saling berkongsi kasut bola.
Keghairahan bermain bola menjentik idea kepada mereka untuk menganjurkan pertandingan. Ia cadangan daripada Abang. Pertandingan bola sepak peringkat bawah umur dalam kediaman mereka. Dan di situlah karakter watak-watak dalam naskhah dirungkai secara ringkas.
Dalam keadaan serba kekurangan, Ah Ping dan Ayub tanpa berfikir panjang, mencuri kasut futsal. Hal itu diketahui penduduk dan mereka mahu tidak mahu, perlu memikul kesalahan itu. Insiden itu pasti meninggalkan parut kepada lima sahabat untuk dikenang, sebagai tanda kekal, suatu masa nanti.
Lima belas tahun kemudian, kelima-lima sahabat itu yang menentu haluan masing-masing akhirnya dipertemukan. Siapa sangka? Juga di padang bola. Tempat jatuh lagikan dikenang.
Hidup memang aneh. Dan itulah yang menyekat manusia sukar meramal apa bakal terjadi keesokan hari. Bola yang menyatukan dan bola juga menjadi asbab mereka berjumpa semula.
Gelak ketawa dan tangisan pilu menjadi penghias pada detik pertemuan. Lima belas tahun bukan tempoh sekejap, tetapi sakti masa mencantumkan perca-perca kenangan menjadi utuh semula. Setiap daripada mereka telah berjaya membina kehidupan dengan pekerjaan hakiki.
Hanya Yoyok seorang terus konsisten bermain secara profesional dalam liga bola sepak negara. Manakala yang lain bekerja dalam pelbagai sektor. Tentu tidak menjadi masalah buat mereka membeli lebih daripada sepasang kasut dan sebiji bola.
Pertemuan pada kali ini, bukan lagi pertemuan kanak-kanak serba naif. Tetapi pertemuan sahabat yang sudah pun dewasa dan ingin menabur bakti kepada tempat kediaman lama mereka dahulu.
Menyedari dari mana mereka datang dan mengenang kehidupan serba susah dahulu, idea untuk merancang masa depan buat generasi muda menjadi topik perbincangan. Masa depan kanak-kanak di situ kini menjadi tanggungjawab mereka. Inilah sikap dan wawasan mereka yang berjiwa luhur.
Hidup bukan semata-mata tentang diri sendiri. Rezeki yang diperolehi perlu dikongsikan bersama-sama. Pencapaian mereka dalam kerjaya masing-masing juga harus dikongsikan agar anak-anak kecil berpeluang meraih kejayaan kelak. Tidak perlu menjadi ahli politik, cukuplah menjadi seorang manusia.
Barulah hidup terasa bererti dan memberi manfaat kepada masyarakat. Demikian apa yang disumbangkan oleh Sadio Mane kepada penduduk kampung kelahirannya.
Kelima-lima sahabat itu merancang untuk membina gelanggang futsal. Bola lagi. Tetapi, bukan bukan setakat gelanggang bola yang lebih sempurna fasilitinya bahkan percuma. Kanak-kanak di situ juga berpeluang mengikuti latihan dan program pembangunan diri.
Kanak-kanak bukan sahaja diajar bermain bola (siapa tahu dari situ lahirnya bintang bola sepak setaraf Arif Aiman) malah didedahkan kepada pendidikan (mustahak) kemahiran dan pelbagai pilihan kerjaya.
Mereka tidak mahu sekadar melahirkan pemain bola sepak. Lebih jauh daripada itu, mereka mahu memotivasi manusia yang tahu ke mana arah dan keutamaan hidup. Dan terbukti, apa dirancang mereka dan diusahakan, menampakkan kejayaan.
Kanak-kanak di Flat Sri Harmain menjadi manusia yang dibanggakan masyarakat. Tidak sia-sia projek kemanusiaan dan pelaburan yang didanai kelima-lima sahabat itu.
Padang yang menjadi lokasi perjumpaan kelima-lima sahabat itu bermain bola, memang sudah terhapus. Demikian juga padang-padang yang pernah dijadikan tempat kanak-kanak bermain bola di mana-mana pun.
Terutamanya di kawasan kediaman tengah bandar. Syukurlah jika ada pihak yang berusaha mengekal dan menaik taraf padang bola untuk kegunaan warga setempat. Kelima-lima sahabat itu bukan lagi kanak-kanak yang sama. Masa yang terluang, tidak dapat lagi digunakan untuk aktiviti berseronok.
Ada-ada sahaja aktiviti sesudah selesai waktu kerja. Namun, ikatan persahabatan tidak dibiar turut sama terlucut. Padang bola sepak baharu dibina. Cara pandang mereka memang menjangkaui jauh ke hadapan.
Padang baharu yang dibina, bukan bertujuan untuk membangkitkan kenangan lama, tetapi sebagai alternatif menyediakan masa depan kepada generasi mendatang.
Sentimental tidak dilarang, tetapi jangan sampai larut direndam kenangan lampau. Jika ramai yang berfikiran jauh seperti kelima-lima sahabat itu, bertambah cepatlah sesebuah negara mencapai kemajuan, baik secara fizikal dan daya intelektual.
Sebagai pengarang baharu, naskhah ini bukan semata-mata bercerita tentang nostalgia masa kanak-kanak. Ia sekadar landasan untuk pengarang mengungkapkan isi sebenar naskhah itu. Dan bahagian itulah yang menarik perhatian saya.
Pengarang meletakkan seberkas impian murni ke dalam naskhah. Amanat dan buah fikiran naskhah itu berada di bawah lapisan naratif. Generasi baharu yang berada dalam fasa yang semakin kompleks kini akan mudah tergelincir dengan pelbagai gejala sosial jika mental dan jiwa tidak dibimbing dengan jalan benar. Jadi, adakah harus dibiarkan sahaja disebabkan mereka bukan saudara kandung? Itulah pintu masuk untuk menangkap tujuan naskhah “Padang”.
Ada mutiara pemikiran ketara disuluhkan. Naratif sederhana itu tetap menampakkan sinar kebijaksanaan pada ketika pengarang menyelitkan impian kemanusiaannya. Ceritanya mudah dan disampaikan pula dengan penceritaan yang jelas.
Ada gagasan yang disematkan secara nyata pengarang dengan cita-cita membantu generasi baharu sebelum mereka tenggelam dalam kesia-siaan. Setelah berada dalam situasi yang sudah pun stabil (pemikiran dan ekonomi), kelima-lima sahabat itu menyedari inilah masa untuk menyumbang buah fikiran dan material kepada kanak-kanak di kediaman lama mereka.
Kalau bukan mereka, siapa hendak memulai? Mereka bukan Socrates, tetapi manusia yang sedar nilai kemanusiaan dan prospek kehidupan. Sebagaimana diakui oleh pengarang, setiap orang mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing. Begitu juga negara.
Oleh Roslan Jomel





