PETRA JAYA, 21 Oktober: Kerajaan Sarawak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji kepada 19,851 penjawat awam negeri, dengan peruntukan berjumlah RM144 juta bagi menghargai sumbangan mereka dalam pembangunan negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan itu berdasarkan gaji pokok terakhir November 2026 dan akan dibayar sebelum penghujung tahun ini.
“Sebagai tanda penghargaan, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada anggota Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, berdasarkan gaji pokok terakhir bulan November 2026, yang akan dibayar sebelum hujung 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.
Selain penjawat awam negeri, Abang Johari turut mengumumkan BKK secara sekali bayar sebanyak RM700 kepada kira-kira 132,347 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak, melibatkan peruntukan kira-kira RM93 juta.
Menurutnya, bantuan berkenaan akan dibayar pada suku pertama 2027 sebagai penghargaan terhadap sumbangan penjawat awam Persekutuan, termasuk guru, petugas kesihatan dan anggota keselamatan yang berkhidmat di negeri ini.
Kerajaan negeri turut memperuntukkan kira-kira RM5.1 juta bagi menyalurkan bantuan sekali bayar RM500 seorang kepada sekitar 10,141 pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.
Dalam pada itu, pengamal media swasta yang berdaftar dengan enam persatuan media di Sarawak akan menerima insentif sekali bayar sebanyak RM700 seorang.
Abang Johari berkata, insentif itu merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan pengamal media dalam menyampaikan maklumat dan berita secara profesional yang memberi impak kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak.
Beliau berkata, penghargaan kepada penjawat awam mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap dedikasi dan pengorbanan mereka dalam memastikan dasar serta agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Saya berharap penghargaan ini menjadi pemangkin semangat kepada penerima untuk terus berbakti dan melonjakkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan Sarawak,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat





