PETRA JAYA, 21 Oktober: Pendapatan penengah isi rumah di Sarawak meningkat daripada RM4,163 kepada RM5,504 sebulan, manakala kadar kemiskinan mutlak menurun daripada 11.9 peratus kepada 8.4 peratus dalam tempoh hampir 10 tahun.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peningkatan pendapatan kira-kira satu pertiga itu mencerminkan perubahan taraf hidup rakyat seiring dengan perkembangan ekonomi negeri sejak 2017.
Menurutnya, perkembangan tersebut turut disokong oleh pertumbuhan sektor ekonomi baharu yang membantu mempelbagaikan asas ekonomi Sarawak.
“Kemajuan ekonomi kita turut dicerminkan melalui peningkatan taraf hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Sarawak 2027 pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, ekonomi Sarawak yang sebelum ini banyak bergantung pada sektor minyak dan gas, pertanian serta komoditi kini semakin dipelbagaikan melalui pembangunan industri hiliran minyak dan gas, tenaga boleh baharu, ekonomi digital serta pembuatan termaju, termasuk semikonduktor.
“Pembangunan sektor baharu itu, bersama-sama dengan kekuatan industri tradisional, telah memperkukuh asas ekonomi negeri dan meningkatkan keupayaan kerajaan menjana hasil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak meningkat daripada RM124.5 bilion pada 2017 kepada RM153.5 bilion pada 2025.
“Sarawak juga berjaya mengekalkan status negeri berpendapatan tinggi selepas menerima pengiktirafan Bank Dunia pada 2022,” katanya.
Untuk rekod, angka pendapatan penengah isi rumah sebanyak RM5,504 sebulan dan kadar kemiskinan mutlak sebanyak 8.4 peratus adalah berdasarkan statistik 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Oleh Masrin Affirah




