SIBU, 21 Oktober: Pelajar Methodist Pilley Institute (MPI) diberi pendedahan mengenai kemahiran kepimpinan menerusi latihan ‘Uncover the Leader Within’ bagi membantu mereka mengenal pasti potensi diri dan membina keyakinan untuk menjadi pemimpin masa depan.
Latihan selama dua jam yang berlangsung di kampus MPI pada 17 Oktober lalu itu dianjurkan menerusi kerjasama Toastmasters International Daerah 87, Bahagian S dan Junior Chamber International (JCI) Youth MPI.
Pengarah Division S, May Tu berkata, program berkenaan bertujuan memberi pendedahan awal mengenai kepimpinan kepada peserta, khususnya golongan pelajar, selain membantu mereka mengenal pasti potensi diri sebagai pemimpin.
“Melalui aktiviti interaktif dan kerja berpasukan, pelajar dapat membina keyakinan diri serta meningkatkan kemahiran komunikasi, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
“Kami berharap program ini dapat melahirkan pemimpin masa depan yang bertanggungjawab, berkeyakinan dan mampu menjadi inspirasi kepada orang lain,” ujarnya.
Tu yang juga pengerusi penganjur program berkata, pendedahan sedemikian penting bagi membentuk generasi muda yang mempunyai ciri kepimpinan berkualiti.
Program itu dirasmikan Pengarah Toastmasters International Region 9, District 87, Desmond Chieng.
Dalam ucapan perasmiannya, Chieng berkata, Toastmasters menyediakan platform kepada setiap ahli untuk terus belajar dan memperbaiki diri, khususnya dalam aspek komunikasi dan kepimpinan
Menurutnya, seseorang tidak perlu memiliki kemahiran sempurna untuk menyertai kelab Toastmasters kerana organisasi itu memberi ruang kepada individu untuk berkembang secara berterusan.
“Saya berharap semua peserta memperoleh pengetahuan dan pengalaman berharga yang boleh dimanfaatkan dalam pengajian dan masa depan mereka.
“Walau apa pun cabaran yang dihadapi, jangan mudah berputus asa dan terus berusaha untuk maju,” katanya.
Sementara itu, Ketua Program Pengurusan Perniagaan MPI merangkap penasihat JCI Youth MPI, Alison Hii berkata, bengkel latihan praktikal itu memberi manfaat besar kepada pelajar dalam memahami ciri, kemahiran dan asas penting kepimpinan.
Katanya, MPI berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan Toastmasters International melalui penganjuran lebih banyak bengkel interaktif, termasuk latihan pengucapan awam.
“Usaha ini penting bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan keyakinan diri supaya mereka lebih bersedia memasuki alam pekerjaan,” jelasnya.
Presiden JCI Youth MPI, Karlfedth Ling pula berkata, latihan berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai pendekatan kepimpinan praktikal yang melangkaui pembelajaran teori di bilik kuliah.
Menurutnya, antara pengajaran utama diperoleh ialah konsep kepimpinan berteraskan khidmat (servant leadership) dan penguasaan diri yang menekankan kepentingan mendengar dan memahami orang lain.
“Program ini mengubah perspektif saya bahawa kepimpinan sebenar bukan bergantung kepada kuasa atau jawatan, sebaliknya melalui khidmat, pengaruh positif dan pembentukan sahsiah diri,” katanya.
Latihan yang berlangsung dari 1.30 hingga 3.30 petang itu dikendalikan dua ahli Toastmasters, Eddie Chung dan Jane Moh.
Sesi pertama bertajuk ‘Lead Without a Title’ disampaikan Chung, manakala sesi kedua bertajuk ‘Rise Above Yourself’ dikendalikan Moh.
Oleh Akun Giman




