PETRA JAYA, 21 Oktober: Enam spesies baharu hidupan liar berjaya ditemukan menerusi Projek Penyelidikan bagi Pengurusan Intensif Kawasan Kaya Biodiversiti Sarawak (RIMBA SARAWAK), sekali gus memperkukuh usaha penyelidikan biodiversiti dan pemuliharaan khazanah alam semula jadi negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penemuan itu merangkumi masing-masing satu spesies katak, ular dan tokek serta tiga spesies kumbang hasil penyelidikan yang dilaksanakan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).
“Sebanyak 1,475 sampel biometrik juga berjaya dikumpul bagi memperkukuh Bank Sumber Genetik (GRB) dan makmal Forensik Hidupan Liar.
“Data ini kelak akan digunakan sebagai asas untuk menggubal dasar konservasi hutan dan hidupan liar jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, berkata, selain penemuan spesies baharu, projek itu turut menghasilkan enam garis panduan pemuliharaan hidupan liar, sembilan laporan penilaian biodiversiti, 30 kertas kerja saintifik dan tiga Pelan Tindakan Pemuliharaan Spesies (SCAP).
“Kerajaan Sarawak turut meneroka potensi pembangunan industri berasaskan perhutanan dan perkayuan, khususnya buluh, biojisim serta arang bio melalui kerjasama penyelidikan dan pembangunan,” ujarnya.
Katanya, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah melaksanakan 16 projek penyelidikan dan pembangunan secara kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Hutan Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta pihak industri.
Jelasnya, penyelidikan berkenaan meliputi bidang biojisim dan biotenaga, buluh, produk kayu kejuruteraan serta penilaian spesies ladang hutan bagi menghasilkan produk perkayuan bernilai tambah.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada langkah memperluas potensi sumber perhutanan melalui penyelidikan saintifik, di samping menyokong pembangunan industri berasaskan sumber hutan di Sarawak.
Untuk rekod, RIMBA SARAWAK yang dilancarkan pada 2015 merupakan inisiatif penyelidikan biodiversiti bagi meningkatkan pengetahuan saintifik serta memperkukuh pengurusan dan pemuliharaan kawasan perlindungan di Sarawak.
Oleh Adele Rissa




