PETRA JAYA, 21 Oktober: Seramai 300 vendor Sarawak memperoleh kontrak bernilai RM2.68 bilion daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jumlah keseluruhan kontrak yang diberikan kepada vendor Sarawak sejak 2014 kini mencecah RM51.5 bilion, termasuk kontrak yang dilaksanakan di luar negeri ini.
“Pencapaian ini turut disokong usaha pembangunan vendor oleh Petronas, Sarawak Energy Berhad, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan PETRA Energy bagi meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam industri bernilai tinggi.
“Pada separuh pertama 2026, seramai 300 vendor Sarawak memperoleh kontrak bernilai RM2.68 bilion daripada Petronas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, program pembangunan vendor Sarawak Energy pula telah memberi manfaat kepada 212 vendor sejak 2019, dengan 197 daripadanya menamatkan program berkenaan sehingga September lalu.
“Jumlah itu merangkumi 154 vendor Bumiputera dan 43 bukan Bumiputera, manakala 448 individu memperoleh pensijilan kompetensi teknikal.
“Sementara itu, PETRA Energy telah memberikan kontrak kepada 78 vendor Sarawak sehingga September tahun ini, meningkat berbanding 62 vendor pada 2025,” jelasnya.
Tambah beliau, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan pemain industri, institusi latihan dan rakan pembiayaan bagi memastikan latihan serta pensijilan vendor memenuhi keperluan sebenar industri.
“Usaha itu bertujuan membolehkan lebih banyak syarikat tempatan bersaing mendapatkan kontrak projek yang lebih kompleks di Sarawak dan luar negeri,” ujarnya.
Untuk rekod, pada Julai lalu, Awang Tengah memaklumkan vendor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Sarawak memperoleh kontrak terkumpul bernilai RM49.31 bilion bagi tempoh 2014 hingga Mac 2026.
Pada bulan sama, Petronas bersama kerajaan Sarawak turut mengiktiraf 82 vendor tempatan atas pencapaian dan sumbangan mereka dalam memperkukuh industri OGSE negeri ini.
Oleh Masrin Affirah





