PETRA JAYA, 21 Oktober: Sebanyak 59 kes kesalahan hutan direkodkan oleh Jabatan Hutan Sarawak bagi tempoh Mei 2025 hingga September 2026, dengan lima tertuduh disabitkan kesalahan di mahkamah.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah itu, lima kes telah didaftarkan untuk pendakwaan di mahkamah.
“Tiga kes telah selesai dengan lima tertuduh disabitkan kesalahan, manakala dua lagi masih dalam proses pendakwaan dan perbicaraan.
“Dalam tempoh yang sama, Jabatan Hutan Sarawak telah mengutip sebanyak RM218,967 hasil kompaun dan RM211,598 hasil jualan kayu rampasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Awang Tengah berkata, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) turut membuka 28 kertas siasatan bagi tempoh Mei hingga September 2026.

Katanya, sebanyak 23 kes disiasat di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, manakala lima lagi di bawah Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi 1998, yang turut melibatkan warga asing.
“Sebanyak 23 kes telah didakwa di mahkamah dan tiga kes dikompaun.
“Tindakan penguatkuasaan SFC menghasilkan kutipan denda mahkamah sebanyak RM108,100, kompaun RM184,850 serta RM608,176 daripada pelupusan hasil hidupan liar,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) pula membuka 20 kertas siasatan bagi tempoh Januari hingga September 2026 atas kesalahan melanggar Ordinan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak 1973.
Sementara itu, katanya, kerjasama penguatkuasaan rentas sempadan Malaysia dan Indonesia turut diperkukuh menerusi Operasi Lintas Batas yang diketuai SFC bagi menangani jenayah melibatkan hidupan liar dan sumber biodiversiti.
“Operasi berkenaan melibatkan enam agensi penguatkuasaan Malaysia, 10 agensi penguatkuasaan Indonesia dari Kalimantan Barat serta dua pertubuhan bukan kerajaan Indonesia.
“Sebanyak enam tangkapan telah dibuat melalui operasi bersama ini,” ujarnya.
Tambah beliau, agensi penguatkuasaan juga akan terus memanfaatkan teknologi geospatial, digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keberkesanan pengesanan serta pemantauan aktiviti perhutanan di Sarawak.
Oleh Masrin Affirah




