Hatta Junction, Depha Masterpiece, Eyqa Saiful, Lucy M antara tarikan Cat City International Bike Week 2026

Facebook
WhatsApp
TARIKAN UTAMA… Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan persembahan artis popular tanah air, termasuk Hatta Junction, Depha Masterpiece, Eyqa Saiful dan Lucy M.

PETRA JAYA, 20 Oktober: Persembahan artis popular tanah air, termasuk Hatta Junction, Depha Masterpiece, Eyqa Saiful dan Lucy M, bakal menjadi antara tarikan utama pada penganjuran Cat City International Bike Week 2026 yang berlangsung dari 28, 29, 30 dan 31  Oktober dan 1 November ini.

Pengerusi Cat City International Bike Week 2026, Abang Nor Nasaruddin Abang Noorzuki, berkata penganjuran acara itu bertujuan menghimpunkan komuniti permotoran dan peminat muzik menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang program berlangsung.

Beliau yang juga Presiden Kelab Cat City Motorsport, berkata, acara itu turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti permotoran, selain memberi peluang kepada pengunjung menikmati persembahan artis dan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sepanjang empat hari penganjuran.

Berdasarkan poster rasmi penganjuran, Lucy M dan Eyqa Saiful dijadual membuat persembahan pada 28 Oktober, masing-masing pada 9 malam dan 9.30 malam.

Depha Masterpiece pula dijadual menghiburkan pengunjung pada 29 Oktober, 10.00 malam, manakala Hatta Junction menjadi artis utama bagi acara Malam Gala pada 31 Oktober, bermula 9.00 malam.

Selain persembahan muzik, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti, termasuk pertunjukan motosikal, gerai makanan dan barangan, pemberian cenderamata serta aktiviti menarik lain.

Acara yang berlangsung di kawasan parkir Stadium Negeri Sarawak itu dijangka menjadi platform pertemuan peminat motosikal dan penggiat permotoran, di samping menawarkan hiburan kepada pengunjung sepanjang program berlangsung.

CCIBW 2026 mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) sebagai penaja utama selain kerjasama strategik bersama Givi Malaysia.

Dalam pada itu, acara ini turut dikuasakan oleh Petronas Sprinta yang juga bakal membuka reruai di CCBIW 2026 nanti. 

Mengangkat tema ‘Ride Sampai Jadi’, CCIBW 2026 dijangka menghimpunkan ribuan penunggang motosikal dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan beberapa negara lain.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara yang berlangsung dari 28 Oktober hingga 1 November di kawasan parkir Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya.

Penganjuran pertama pada 2024 dan edisi kedua pada 2025 berjaya menarik penyertaan penunggang dari beberapa negara termasuk Brunei Darussalam dan negara Asia Barat, sekali gus membuktikan acara itu mempunyai potensi untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi.

Bagi edisi ketiga ini kami mengambil keputusan untuk menaik taraf acara kepada CCIBW. Ia merupakan acara Bike Week bertaraf antarabangsa yang pertama diadakan di Kuching

Utusan Sarawak merupakan rakan media rasmi bagi penganjuran Cat City International Bike Week 2026 sekali gus menyokong usaha mempromosikan acara permotoran berkenaan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Oleh Shahrul Qaizat