KUALA LUMPUR, 20 Oktober: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kehadirannya di konsert Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini adalah atas jemputan khas selain sebagai sokongan terhadap usaha memperkasakan seni, warisan dan budaya tempatan.
Mengulas teguran beberapa pihak berhubung kehadirannya itu, Anwar mengucapkan terima kasih dan menerima pandangan berkenaan dengan hati terbuka.
“Saya pergi kerana Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk K (Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa), memohon sangat untuk saya hadir, walaupun pergi lambat sedikit… tetapi ditegur oleh beberapa pihak, terima kasih,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab gurauan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai kehadirannya di Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lepas.
Menurut Perdana Menteri, konsert penyanyi tersohor negara itu wajar dipuji kerana berjaya mengangkat martabat kebudayaan negara menerusi pelbagai elemen tradisional yang ditampilkan.
Beliau berkata konsert tradisional itu mempamerkan keindahan seni warisan menerusi elemen wayang kulit, tarian tradisional, serta persembahan kebudayaan dari Sabah dan Sarawak, sekali gus menyerlahkan kekayaan warisan dan lagu klasik tempatan.- Bernama





