DUN: Sarawak import jagung RM427.8 juta, perluas tanaman tempatan

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Dr Stephen Rundi Utom ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19 Sarawak di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 20 Oktober: Sarawak mengimport 354,596 tan metrik jagung bijian bernilai RM427.8 juta pada 2025, sekali gus mendorong usaha memperluas penanaman tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, jagung bijian merupakan bahan penting dalam formulasi makanan ternakan, dengan kandungannya merangkumi sekitar 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan formulasi berkenaan.

Sehubungan itu, pembangunan tanaman jagung bijian tempatan dilihat berpotensi menyokong bekalan bahan mentah industri makanan ternakan, selain membuka peluang kepada sektor pertanian untuk meningkatkan pengeluaran dalam wilayah.

Beliau berkata, kira-kira 2,000 hektar kawasan telah dikenal pasti bagi pembangunan tanaman jagung bijian di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Pada masa ini, penanaman oleh sektor swasta melibatkan kawasan seluas 200 hektar di Tulai Tekap, Sarikei, manakala koperasi komuniti mengusahakan 40 hektar di Labak Tungan, Serian.

Menurut beliau, hasil purata tanaman ketika ini ialah tiga tan metrik sehektar bagi setiap kitaran pengeluaran.

Perluasan kawasan tanaman itu merupakan antara usaha membangunkan sumber bahan mentah tempatan untuk memenuhi keperluan industri makanan ternakan, yang berkait rapat dengan kos operasi sektor penternakan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.

Bagaimanapun, sasaran pengeluaran jagung bijian tempatan dan jumlah import yang berpotensi dikurangkan masih menjadi perkara penting dalam menentukan sejauh mana usaha berkenaan dapat mengurangkan kebergantungan Sarawak kepada bekalan luar.

Oleh Afiq Sallehi