MDLA anjur K2AS, didik penduduk hadapi risiko kebakaran dan kecemasan

Facebook
WhatsApp
PENGANJURAN Aktiviti K2AS (Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar) yang berlangsung di Kompleks Sukan Lubok Antu. Foto: MDLA

LUBOK ANTU, 20 Oktober: Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) terus memperkukuh usaha memupuk budaya keselamatan dan kelestarian alam sekitar menerusi penganjuran Aktiviti K2AS (Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar) yang berlangsung di Kompleks Sukan Lubok Antu, hari ini.

Menurut kenyataan Majlis Daerah Lubok Antu, program berkenaan berjaya menghimpunkan sekitar 150 peserta yang mewakili 34 rumah panjang dan kampung di daerah ini, selain penyertaan Pasukan Bomba Sukarela Daerah Lubok Antu.

Pelbagai aktiviti berteraskan keselamatan telah diadakan, termasuk latihan, taklimat dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api, langkah menangani kebakaran dapur dan kebakaran melibatkan gas, serta aktiviti membentang hos yang dikendalikan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong.

Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran komuniti dalam aspek pencegahan kebakaran dan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan.

Menariknya, program turut menampilkan sesi randau bertajuk ‘Tapak Pelupusan Tanggungjawab Siapa’ yang diadakan secara fizikal dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook. 

Sesi itu menghimpunkan wakil daripada Majlis Daerah Lubok Antu Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman serta Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Bahagian Betong bagi membincangkan tanggungjawab bersama dalam pengurusan tapak pelupusan dan pemeliharaan alam sekitar.

Selain pengisian berkaitan keselamatan dan alam sekitar, pengunjung turut memperoleh manfaat menerusi perkhidmatan Kaunter Bergerak Bahagian Penilaian dan Pencukaian, perkhidmatan gunting rambut percuma oleh MJ Barber serta pameran bomba yang menyediakan maklumat dan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

Penganjuran Aktiviti K2AS ini diharap dapat mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat dalam membudayakan amalan keselamatan, menjaga kebersihan persekitaran serta memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap pengurusan sisa dan kelestarian alam sekitar.

Program tersebut telah dihadiri oleh Pegawai Daerah Lubok Antu merangkap Pengerusi Majlis Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau; Timbalan Penguasa Bomba, Melvin Amuk; Ketua BBP Betong, Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi; serta Pengerusi Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah Lubok Antu, Pemancha Grang Juben.

Oleh Adi Safarman