KUCHING, 20 Oktober: Sarawak mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai pengeluar utama benih ikan marin bagi memenuhi keperluan industri akuakultur tempatan, selain meneroka pasaran ke negara jiran melalui pengukuhan teknologi dan kapasiti pengeluaran.
Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata potensi tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya menerusi penguasaan teknologi pembenihan moden, peningkatan kepakaran tenaga kerja dan pengukuhan kapasiti pengeluaran benih tempatan.
Menurut beliau, usaha itu penting bagi memastikan industri akuakultur marin di Sarawak terus berkembang secara mampan dan mampu bersaing di peringkat serantau.
“Sarawak dilihat berpotensi untuk menjadi pengeluar benih ikan marin bagi memenuhi keperluan industri tempatan, selain meneroka peluang pasaran ke negara jiran.
“Potensi ini perlu dimanfaatkan melalui penguasaan teknologi, peningkatan kepakaran serta pengukuhan kapasiti pengeluaran benih tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Teknologi Pembenihan Ikan Marin anjuran Cawangan Akuakultur, Jabatan Perikanan Laut Sarawak, dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan para peserta memanfaatkan sepenuhnya kursus berkenaan sebagai platform menambah ilmu dan pengalaman daripada penceramah yang berpengalaman, khususnya dalam aspek teknologi pembenihan, pengurusan jaring serta pencegahan dan kawalan penyakit ikan.
“Kursus ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknikal peserta, terutama dalam penghasilan benih ikan marin yang berkualiti, meningkatkan kadar kelangsungan hidup ikan serta memperkukuh amalan pengurusan kesihatan ikan.
“Penguasaan aspek-aspek tersebut mampu meningkatkan kecekapan pengeluaran, mengurangkan risiko kerugian dan memastikan bekalan benih yang lebih konsisten kepada pengusaha akuakultur,” katanya.
Kursus yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis itu diharap dapat menyumbang kepada pembangunan industri akuakultur marin yang lebih produktif, berdaya maju dan berdaya saing di Sarawak.
Turut hadir Timbalan Pengarah Perikanan Laut Sarawak, Liza Long, serta pegawai dan kakitangan Jabatan Perikanan Laut Sarawak.
Oleh Adi Safarman



