BETONG, 20 Oktober: Penduduk Rumah Singin Gawis di Padeh berdepan detik cemas apabila kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku berhampiran kediaman mereka susulan hujan berterusan semalam.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong, kejadian itu menyebabkan tanah runtuh di kawasan berhampiran hujung rumah keluarga terjejas, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penghuni.
Sepasukan anggota APM Betong yang diketuai Leftenan Muda Pertahanan Awam (PA) Alice Ambrose bergegas ke lokasi pada 9.11 pagi dan tiba sekitar 9.48 pagi bagi menjalankan pemeriksaan serta memantau keadaan kawasan berkenaan.
Hasil pemantauan mendapati runtuhan tanah berlaku berhampiran bahagian hujung bilik rumah berkenaan, kira-kira lima meter dari bilik mandi dan tandas.
Lebih membimbangkan, pergerakan tanah dan runtuhan kecil masih berlaku ketika pemantauan dijalankan.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. Setakat ini, pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga tidak diperlukan.
Sebagai langkah keselamatan, APM memasang tanda amaran di kawasan berisiko dan menasihatkan penghuni supaya sentiasa berwaspada serta memantau sebarang perubahan keadaan tanah yang berpotensi menyebabkan runtuhan susulan.
APM turut memaklumkan bahawa agensi berkaitan akan dimaklumkan bagi mengambil tindakan lanjut, termasuk menilai tahap risiko dan keselamatan kawasan terbabit.
Operasi pemantauan berakhir pada 11.06 pagi selepas tindakan awal bagi memastikan keselamatan kawasan selesai dilaksanakan.
Sehubungan itu, APM mengingatkan orang ramai, khususnya penduduk yang tinggal berhampiran cerun dan kawasan tanah tidak stabil, supaya sentiasa berwaspada ketika hujan berterusan.
“Sebarang tanda pergerakan tanah atau runtuhan perlu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Walaupun tiada mangsa dilaporkan, pergerakan tanah yang masih aktif menunjukkan risiko runtuhan susulan tidak boleh dipandang ringan,” menurut kenyataan APM Daerah Betong.
Oleh Adi Safarman




