70 biji telur buaya ditemukan berhampiran kebun penduduk di Nakong

Facebook
WhatsApp
SEBANYAK 70 biji telur buaya ditemukan dalam sebuah sarang berhampiran kebun penduduk di Nakong, Samarahan. Foto Sarawak Crocter

KOTA SAMARAHAN, 20 Oktober: Sebanyak 70 biji telur buaya ditemukan dalam sebuah sarang berhampiran kebun penduduk di Nakong, Samarahan, hari ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan komuniti setempat.

Sarang berkenaan berjaya dikesan sebelum Pasukan Sarawak Croc, dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), menjalankan operasi pemindahan telur bagi mengurangkan risiko kepada penduduk.

Kedudukan sarang yang berhampiran kawasan aktiviti harian penduduk menuntut kewaspadaan tinggi, terutama dalam kalangan mereka yang kerap bekerja atau menjalankan aktiviti di kawasan yang berpotensi menjadi habitat buaya.

Penemuan itu turut menjadi peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap kehadiran buaya atau tanda-tanda kewujudan sarangnya berhampiran kawasan kediaman dan kebun.

Orang ramai yang melihat kelibat buaya atau menemui sarangnya dinasihatkan supaya tidak mendekati atau mengganggu haiwan berkenaan, apatah lagi cuba mengendalikannya sendiri.

Sebaliknya, laporan boleh dibuat menerusi aplikasi Sarawak Croc Watch yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

Tindakan segera melaporkan penemuan sedemikian penting bagi membantu mengurangkan risiko ancaman buaya serta melindungi keselamatan penduduk setempat.

Oleh Adi Safarman