TYT Sarawak terima kunjungan hormat Hakim Besar Sabah dan Sarawak

Facebook
WhatsApp
YANG di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Azizah Nawawi di Astana Negeri, hari ini. Foto Astana Negeri Sarawak.

PETRA JAYA, 20 Oktober: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menerima kunjungan hormat Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Azizah Nawawi, di Astana Negeri, hari ini.

Kunjungan itu turut disertai barisan hakim Mahkamah Tinggi Sarawak, Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Datuk Azreena Aziz serta Presiden Persatuan Peguam Bela Sarawak, Gunvir Singh Sandu.

Antara tujuan , adalah untuk menyampaikan watikah persilaan rasmi kepada Yang di-Pertua Negeri dan Toh Puan bagi menghadiri serta menyempurnakan Majlis Makan Malam Gala sempena Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2026 (The Opening of the Legal Year Sabah and Sarawak 2026) yang dijadualkan berlangsung pada Januari depan.

Pertemuan itu turut memberi peluang kepada Hakim Besar memperkenalkan barisan hakim dan anggota delegasi yang hadir.

Dalam pertemuan berkenaan, Tun Pehin Sri berkongsi pandangan mengenai keperluan menyediakan bangunan dan kemudahan mahkamah di setiap bahagian di Sarawak bagi memperluas akses rakyat terhadap perkhidmatan kehakiman, khususnya penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata, cadangan itu pernah dibangkitkan ketika menyandang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), dengan mengambil kira keluasan geografi Sarawak serta cabaran perjalanan jauh yang dihadapi penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan mahkamah.

Menurut beliau, penyediaan infrastruktur mahkamah yang lengkap dan moden penting bagi mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif kepada hakim serta warga kehakiman, sekali gus meningkatkan kecekapan dan kelancaran prosiding mahkamah.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak kehakiman mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Sarawak bagi mengenal pasti lokasi tanah yang strategik dan sesuai untuk pembinaan bangunan serta kemudahan mahkamah di negeri ini.

Tun Pehin Sri turut menekankan kepentingan menjaga kedudukan, keselamatan dan kewibawaan institusi kehakiman, termasuk penyediaan laluan masuk dan keluar berasingan bagi hakim ketika menghadiri prosiding serta memasuki kamar masing-masing.

Beliau turut berpandangan bahawa kemudahan kediaman dan kenderaan rasmi yang bersesuaian perlu diberikan perhatian bagi mencerminkan tanggungjawab serta kedudukan hakim dalam sistem pentadbiran keadilan.

Selain itu, beliau menyarankan agar skim perkhidmatan dan umur persaraan hakim diberikan pertimbangan khusus dengan mengambil kira sifat tugas, pengalaman, kepakaran serta keperluan memelihara kebebasan dan kesinambungan institusi kehakiman.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh kepentingan memperluas perwakilan Persatuan Peguam Bela Sarawak dengan melibatkan pengamal undang-undang dari setiap bahagian bagi memastikan kepentingan serta keperluan profesion guaman di seluruh negeri dapat diketengahkan dengan lebih berkesan.

Sementara itu, Datuk Seri Azizah berkongsi perkembangan pembangunan infrastruktur dan kemudahan kehakiman, termasuk perancangan mewujudkan sebuah mahkamah khas untuk mengendalikan prosiding kes jenayah serta empat mahkamah bagi mengendalikan kes sivil.

Tun Pehin Sri menyambut baik perkembangan itu yang dilihat berpotensi meningkatkan kecekapan pengurusan kes, mempercepat proses perbicaraan dan menambah baik penyampaian perkhidmatan kehakiman kepada masyarakat.

Beliau berharap usaha memperkukuh sistem kehakiman di Sabah dan Sarawak terus diberikan perhatian bagi memastikan semua lapisan masyarakat, termasuk penduduk luar bandar dan pedalaman, menikmati akses yang lebih mudah dan adil kepada sistem perundangan negara.

Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut merakamkan penghargaan kepada Hakim Besar serta delegasi atas kunjungan hormat itu, sambil berharap hubungan dan kerjasama antara institusi kehakiman dengan Kerajaan Sarawak terus diperkukuh demi kepentingan rakyat.