Kerajaan Sarawak komited perkasa usahawan wanita

Facebook
WhatsApp
ALBUM... Datuk Rosey Yunus dan rombongannya merakam kenangan bersama Biro Wanita Kampung Pintasan Tiris.

BEKENU, 20 Oktober: Kerajaan Sarawak komited membantu usahawan wanita meningkatkan taraf hidup melalui penglibatan aktif dalam kegiatan ekonomi, sekali gus memastikan mereka mendapat peluang yang adil dan saksama dalam pembangunan ekonomi negeri.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata, wanita mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan melalui pelbagai bidang keusahawanan, termasuk penghasilan kraf tangan, kuih-muih dan masakan tradisional.

Menurut beliau, kemahiran yang dimiliki wanita, khususnya dalam bidang makanan dan kraf tangan, boleh dikembangkan menjadi sumber pendapatan yang mampan sekiranya mendapat sokongan, bimbingan dan peluang pemasaran yang bersesuaian.

KREATIF… Datuk Rosey Yunus ketika menyaksikan pembuatan gubahan bunga oleh kumpulan Biro Wanita Kampung Pintasan Tiris pada Program Ngopi Santai semalam.

Katanya, usaha memperkasa usahawan wanita bukan sahaja membantu meningkatkan ekonomi keluarga, malah membuka ruang kepada mereka untuk berdikari dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ngopi Santai bersama penduduk Kampung Pintasan Tiris di sini semalam.

Rosey berharap wanita yang terlibat dalam kegiatan keusahawanan dapat terus memanfaatkan kemahiran dan kreativiti masing-masing untuk menghasilkan produk berkualiti serta berdaya saing.

Katanya, penglibatan wanita dalam bidang ekonomi perlu terus diperkukuh agar lebih ramai berpeluang membina perniagaan sendiri dan meningkatkan kesejahteraan keluarga.

Oleh Adum Liu