SATU perkara menarik yang berlaku pada minggu lalu ialah perbahasan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perbahasan ini tepat pada masanya dengan saranan-saranan daripada Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak tentang penting dalam memelihara sejarah Sarawak.
Perbahasan mengenai RUU ini amat menarik kerana ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyuarakan kepentingan dalam mendokumentasi memori kolektif di Sarawak. Semua mereka bersetuju bahawa usaha memelihara memori kolektif ini perlu diperkasakan.
Tempatan
Antara yang mengutarakan hal ini adalah Ir Christopher Gira Sambang (GPS-Tamin) yang memberi penekanan kepada usaha mendokumentasi sejarah rumah panjang. Apa yang beliau nyatakan ini berkaitan dengan perlu usaha yang pantas untuk merekod sejarah silam rumah panjang yang mana kebanyakan memori sejarahnya dalam kalangan generasi tua.
Kenyataan ADUN ini dikaitkan dengan pengalaman golongan tua tentang pelbagai sejarah kehidupan masyarakat rumah panjang dari pembentukan rumah panjang, penghijrahan penduduk, kehidupan masyarakat dan tradisi.

Usaha mengangkat sejarah masyarakat ini disambung oleh Kennedy Chukpai Ugon (GPS-Murun) yang melihat sejarah bukan sahaja datang dari kalangan tokoh terkenal dan peristiwa bersejarah tetapi juga sejarah dan budaya masyarakat pribumi luar bandar dan pedalaman.
Beliau juga menekankan perkara yang sama mengenai perlunya membuat pengumpulan sumber-sumber lisan dari generasi tua untuk memelihara sejarah sebuah masyarakat.
Pengurusan
Dr Safiee Ahmad (GPS-Daro) juga bersetuju bahawa memori kolektif pelbagai kaum di Sarawak perlu dipelihara. Beliau berpandangan bahawa usaha mendokumentasi sejarah ini penting terutama sejarah pejuang, sumbangan tokoh tempatan dan peristiwa penting yang membentuk identiti masyarakat di Sarawak.
Oleh itu pengurusan mendokumentasi memori kolektif ini adalah inisiatif literasi digital dan pembangunan komuniti selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Sokongan dalam memelihara dokumen-dokumen sejarah ini disambut baik oleh Royston Valentine (GPS-Tellian). Dalam perbahasanmua, beliau menekankan satu usaha pengumpulan secara sistematik perlu dilakukan ke atas dokumen lama, manuskrip, gambar, surat-menyurat dan rakaman sejarah.
Beliau juga menambah bahawa apa yang perlu dilakukan untuk arkib memorial itu lebih terserlah adalah bukan setakat pengumpulan sumber-sumber sejarah dipelihara tetapi ia juga memberi manafaat kepada masyarakat.
Seperkara lagi yang beliau tekankan adalah perlunya melihat sejarah itu bukan setakat peristiwa besar dan tokoh terkenal tetapi juga memori dan pengalaman sejarah peringkat kampung, bandar, daerah, institusi, masyarakat dan tokoh tempatan di seluruh negeri Sarawak.
Bahasa
Dalam konteks yang sama, Johnny Pang Leong Ming (GPS-Tanjung Batu) berpandangan bahawa usaha memelihara bahasa kaum di Sarawak seperti masyarakat Kelabit, Penan, Kenyah dan Kayan, perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Hal ini kerana bahasa bukan sekadar medium komunikasi, tetapi turut mencerminkan sejarah, kebijaksanaan, warisan budaya dan identiti sesebuah masyarakat.
Oleh itu, usaha mendokumentasikan bahasa masyarakat pribumi, termasuk lagu tradisional, puisi dan cerita rakyat, amat penting bagi memastikan warisan tersebut terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Dalam hal ini, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu dimanafaatkan dalam mendokumentasikan bahasa-bahasa tersebut dan menggalakkan generasi muda mempelajari dan menguasai bahasa ibunda masing-masing.
Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) dalam perbahasannya mengenai rang undang-undang tersebut, menyatakan bahawa penubuhan arkib memori berupaya berfungsi sebagai repositori bagi sumber-sumber sejarah.
Ini kerana ia mampu merakam dan memperingati pelbagai peristiwa, tempat, tokoh serta aspek lain yang berkaitan dengan sejarah.
Penubuhan arkib sedemikian penting dalam usaha mengumpul, mendokumentasi dan memelihara memori kolektif masyarakat agar warisan sejarah tersebut dapat dirujuk dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Sokongan kuat daripada semua ADUN ini membawa kepada kelulusan RUU tersebut.
Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, menyatakan bahawa RUU tersebut memberikan kuasa kepada Pustaka Negeri Sarawak untuk menubuhkan arkib memorial.
Menurut beliau, inisiatif ini akan membolehkan pewujudan repositori peringatan yang menghimpunkan bahan-bahan berkaitan tokoh penting, peristiwa bersejarah, warisan, budaya dan sejarah Sarawak.
Usaha ini bukan sahaja penting dalam memelihara bahan-bahan yang mempunyai nilai sejarah, malah turut berperanan dalam memastikan khazanah warisan negeri terus didokumentasikan, dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Lisan
Apa yang boleh dikatakan dalam perbahasan oleh beberapa ADUN ini adalah kepentingan dalam mengumpul memori kolektif dalam kalangan masyarakat Sarawak.
Penekanan penting adalah aspek sumber memori kolektif itu hendak dikumpul. Pertamanya bagi masyarakat yang tidak mempunyai budaya penulisan memerlukan satu pendekatan lebih drastik dalam mengumpul bahan-bahan ingatan masa lampau tersebut.
Kaedah sejarah lisan merupakan salah satu pendekatan penting dalam usaha merakamkan memori kolektif masyarakat.
Kewujudan tradisi lisan dalam kalangan pelbagai kaum di Sarawak, termasuk penyampaian cerita rakyat, asal usul keturunan, adat resam dan pengalaman sejarah secara turun-temurun, menyediakan asas yang penting bagi mendokumentasikan memori tersebut.
Oleh itu, cadangan untuk menubuhkan sebuah pusat kajian sejarah lisan wajar diberikan perhatian.
Sehubungan itu, saranan ADUN Tanjung Batu agar diwujudkan Oral Heritage Digital Archive (Arkib Digital Warisan Lisan) boleh dilihat sebagai satu inisiatif memenuhi hasrat mengumpul, merekod dan memelihara tradisi lisan serta pengalaman sejarah masyarakat Sarawak.
Inisiatif ini berpotensi menjadi sumber rujukan penting bagi penyelidikan sejarah, di samping memastikan khazanah warisan lisan masyarakat pribumi terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Sumber
Sementara itu, pengumpulan bahan-bahan bertulis juga penting diambil kira dalam usaha memperkasakan arkib memorial tersebut.
Ini kerana orang perseorangan juga menyimpan surat, dokumen, surat khabar dan warta yang mempunyai nilai sejarah.
Selain itu gambar-gambar dan lukisan lama juga perlu menjadi perkara diberi perhatian kerana ia juga satu sumber memori kolektif yang penting dalam memperkasakan memori arkib.
Seiring dengan perkembangan teknologi, aspek pendokumentasian sejarah moden Sarawak melalui rakaman audio dan visual juga perlu diberikan perhatian.
Pelbagai rakaman yang dihasilkan pada masa lalu, termasuk dokumentari, temu bual, rakaman peristiwa penting dan bahan audio visual lain, merupakan sumber sejarah yang bernilai dalam menggambarkan perkembangan masyarakat dan negeri Sarawak.
Bahan-bahan ini bukan sahaja merakamkan peristiwa yang berlaku pada sesuatu zaman, malah turut memberikan gambaran tentang pengalaman, pemikiran dan kehidupan masyarakat ketika itu.
Oleh itu, usaha mengumpulkan, mendokumentasikan, memelihara dan memulihara rakaman sejarah tersebut amat penting bagi memastikan bahan-bahan berkenaan kekal sebagai sumber rujukan untuk penyelidikan sejarah serta tatapan generasi akan datang.
Penggunaan teknologi digital juga dapat membantu proses pendigitalan dan pemeliharaan bahan rakaman lama agar tidak mengalami kerosakan atau kehilangan akibat faktor usia dan perubahan teknologi.
Usaha kerajaan negeri Sarawak ini satu usaha yang baik dalam memelihara memori kolektif masyarakat dan negeri Sarawak.
Hanya perlu satu cadangan penting dalam memperkasakan usaha ini adalah penubuhan badan pengerak sejarah seperti institusi penyelidikan sejarah tempatan diwujudkan untuk menjalankan usaha penulisan memori kolektif ini berdasarkan cerminan tempatan.
- Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.




