Penulisan semula sejarah Sarawak

Facebook
WhatsApp

PADA penghujung bulan lalu, Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak (PASS) kali kedua telah berlangsung di Wisma Melayu Sarawak di Kuching. Persidangan ini menghimpunkan para sarjana dalam bidang sejarah dan bidang-bidang lain untuk membentangkan hasil kajian dan berkongsi pandangan tentang pelbagai aspek sejarah Sarawak.

Apa yang menariknya dalam persidangan ini adalah ucapan pembukaan oleh Menteri Pelancongan, Insdustri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau menyentuh mengenai perlunya usaha mempergiatkan kajian tentang sejarah negeri Sarawak sebelum bermulanya pemerintahan Dinasti Brooke di Sarawak. Kata-kata beliau ini dikembangkan lagi oleh syarahan perdana oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Syarahan Tun Pehin Sri ini menyentuh perkara yang sama dengan memberi penekanan kepada perlunya usaha mengumpul, mendigitalkan dan menerbitkan bahan sejarah berkaitan Sarawak. 

Tambahan daripada itu, Tun Pehin Sri tekankan bahawa sejarah ialah latihan untuk berfikir, mencari bukti, menilai kebenaran dan memahami manusia. Seperkara lain apa yang Tun Pehin Sri nyatakan adalah dalam era maklumat pantas dan mudah terpesong, disiplin sejarah mengajar kita agar menilai sumber secara adil sebelum membuat kesimpulan.

Terdahulu

Kedua-dua pemimpin Sarawak ini jelas menunjukkan keperluan untuk menulis semula sejarah Sarawak. Saranan seumpama ini sebenarnya telah lama diutarakan oleh pemimpin Sarawak. 

Ini kerana sejarah Sarawak banyak ditulis daripada pandangan orang Barat yang kadangkala memberi konotasi negatif kepada pemimpin dan sejarah Sarawak.

Antara pemimpin Sarawak yang pernah menyatakan usaha menulis semula sejarah Sarawak ialah Pehin Sri Adenan Satem, bekas ketua Menteri Sarawak. Beliau yang juga dikenali sebagai Tok Nan pernah menulis mengenai sejarah Sarawak pada zaman Brooke dalam Sarawak Gazette.

Saranan beliau tentang penulisan sejarah ini pernah diutarakannya pada 1980. Ketika itu beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang. Saranan tentang penulisan semula sejarah Sarawak pernah beliau nyatakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Tok Nan menyatakan bahawa kebanyakan penulisan tentang sejarah Sarawak ini ditulis oleh orang asing yang pro-Brooke. Sehubungan itu, beliau menyarankan anak-anak Sarawak untuk menulis semula mengenai sejarah Sarawak tanpa berat sebelah. 

Ini kerana menurut beliau, penulisan seumpama itu akan memberi kebaikan dalam pemahaman tentang sejarah Sarawak.

Semasa menjadi Ketua Menteri, beliau juga pernah menyarankan agar dokumentasi tentang sejarah Sarawak dilakukan. Pada 2014 semasa upacara pecah tanah pembinaan muzium baharu, Adenan  menyatakan bahawa adalah satu keperluan untuk merekodkan sejarah Sarawak selepas 1963.

Menurut beliau selepas 1963, banyak perkara berlaku di Sarawak seperti konfrontasi, kekacauan zaman komunis dan peristiwa Ming Court. Peristiwa-peristiwa ini menurut beliau, tidak banyak direkodkan.

Pada pandangannya, peristiwa-peristiwa ini wajar diketahui oleh generasi baharu agar mereka lebih menghargai warisan sejarah dan menyedari bahawa keadaan yang dinikmati hari ini terbentuk melalui pelbagai pengalaman, cabaran dan pengorbanan pada masa lalu.

Saranan

Pada 2016, Adenan sekali lagi menunjukkan pentingnya usaha mendokumentasikan sejarah Sarawak apabila menyarankan agar sejarah dan asal usul sesebuah kawasan didokumentasikan oleh Pegawai Daerah.

Dalam hal ini beliau menyatakan bahawa usaha ini penting bagi mengetahui dan memahami perubahan masa lalu yang mempengaruhi masyarakat hari ini.

Dalam hal ini juga beliau menyentuh perlu satu penulisan sejarah sebelum pemerintahan Raja Putih (James Brooke). Beliau menyatakan bahawa sejarah Sarawak penuh dengan peristiwa-peristiwa penting sebelum kedatangan Brooke.

Pada 1988 saranan untuk menulis sejarah Sarawak juga diutarakan oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud (kemudian Tun) semasa Minggu Sejarah di Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah, Kuching.  Ucapan beliau dibaca oleh timbalannya iaitu Datuk Alfred Jabu.

Minggu Sejarah tersebut diadakan sempena sambutan 25 tahun Sarawak Merdeka selepas Penubuhan Malaysia. Dalam ucapan itu, beliau menyarankan agar sejarawan membuat penyelidikan dan kajian tentang sejarah Sarawak dan seterusnya menghasilkan karya-karya tentang sejarah Sarawak.

Mengubah

Abdul Taib menyatakan bahawa pengkaji asing yang menulis mengenai sejarah Sarawak mengenepikan peranan peribumi Sarawak dalam perjuangan kemerdekaan. 

Ini kerana menurut beliau, orang asing yang menulis tentang sejarah Sarawak sering memberi konatasi negatif dengan melabelkan masyarakat peribumi sebagai bodoh dan pemberontak.

Atas sebab itu beliau menyatakan bahawa apa yang diutara dan ditulis oleh orang asing itu menafikan fakta sebenar pejuang silam Sarawak. Saranan beliau ini juga menurut Abdul Taib sebagai satu cabaran bagi ahli sejarah dan pencinta tanah air untuk membetulkan fakta-fakta tersebut.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa kegemilangan sejarah silam Sarawak akan semakin dilupakan sekiranya usaha penyelidikan dan penulisan sejarah tidak dipergiat.

Oleh itu, karya-karya sejarah Sarawak perlu dihasilkan berdasarkan penelitian yang teliti agar dapat memberikan gambaran yang tepat tentang peristiwa dan perkembangan yang berlaku pada masa lalu.

Beliau turut menekankan kepentingan memupuk minat generasi muda terhadap sejarah tanah air, khususnya sejarah Sarawak, agar mereka lebih memahami dan menghargai warisan sejarah negeri tersebut.

Peranan

Dalam hal ini Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sarawak (PSMCS) memainkan peranan penting dalam menjayakan Minggu Sejarah tersebut.

Menurut Pengerusi pengelolanya yang juga Yang Dipertuan PSMCS, Azmi Junid menjelaskan bahawa tujuan diadakan minggu tersebut sebagai satu usaha mengembalikan bahan-bahan sejarah Sarawak yang telah diabaikan pada masa lalu. 

Beliau juga menyatakan bahawa minggu tersebut sebagai usaha memupuk dan mempertingkatkan minat dan rasa cinta masyarakat di Sarawak terhadap kegemilangan sejarah di Sarawak.

Saranan dan pendapat pemimpin Sarawak ini menunjukkan bahawa ada satu keperluan untuk menulis semula sejarah Sarawak. Ini kerana saranan seumpama ini berterusan selepas pembentukan Malaysia hingga ke hari ini.  

Semoga saranan pemimpin-pemimpin Sarawak ini mampu memberi semangat dan galakkan kepada sejarawan Sarawak untuk membuat kajian, penyelidikan dan menghasilkan karya tentang sejarah Sarawak.

Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.