MUKAH, 19 Oktober: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Petanak Seri melaksanakan Program Rondaan Cegah Jenayah di sekitar kawasan kampung berkenaan, semalam.
Program itu bertujuan menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam usaha pencegahan jenayah, selain memperkukuh kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat setempat.
Menerusi program tersebut, rondaan dijalankan di sekitar kawasan kampung bagi meningkatkan tahap keselamatan serta membendung kegiatan jenayah dan gejala sosial.
Pada masa sama, program berkenaan turut memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman penipuan dalam talian.
Penduduk setempat turut digesa mengambil langkah proaktif dengan menyebarkan maklumat dan peringatan kepada ahli keluarga, saudara-mara serta komuniti supaya sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsa penipuan.

Sehubungan itu, KRT memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.
Program rondaan tersebut disertai dua anggota polis, iaitu Konstabel Mirwan dan Konstabel Mohamad Syaful Syafiq, bersama lima ahli KRT Petanak Seri.
Secara keseluruhannya, rondaan berjalan lancar dan teratur tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.
Sementara itu, IPD Mukah merakamkan penghargaan kepada KRT Petanak Seri atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.
Kerjasama berterusan antara pihak polis dengan komuniti setempat dilihat penting dalam usaha mewujudkan persekitaran yang selamat, harmoni dan sejahtera.
Oleh Adibfahmy




