Klinik Kesihatan Semop perlukan ambulans dan kelengkapan tambahan

Facebook
WhatsApp
AHLI Parlimen Tanjong Manis mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Semop. Foto Ukas

SEMOP, 19 Oktober: Keperluan menyediakan sebuah ambulans dengan segera di Klinik Kesihatan Semop diberi perhatian bagi memastikan perkhidmatan kecemasan dapat disediakan dengan lebih berkesan kepada penduduk kampung dan rumah panjang di kawasan sekitarnya.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, keperluan itu dikenal pasti ketika beliau mengadakan lawatan ke klinik berkenaan selepas menghadiri Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (Gema) @ KKDW di Kampung Semop, baru-baru ini.

Katanya, lawatan itu turut memberinya peluang meninjau kemudahan kesihatan berkenaan serta mendapatkan maklumat secara langsung mengenai operasi klinik daripada pegawai perubatan dan kakitangan bertugas.

“Saya sempat berjumpa dengan pegawai perubatan yang bertanggungjawab serta beberapa kakitangan klinik.

“Saya juga meninjau keadaan klinik dan berbincang dengan kakitangan mengenai pengoperasiannya.

“Dari segi jumlah kakitangan, saya difahamkan bahawa kakitangan sedia ada sudah agak mencukupi, walaupun masih terdapat sedikit kekurangan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata Klinik Kesihatan Semop memerlukan sebuah ambulans dengan segera bagi kegunaan ketika kecemasan, selain beberapa kelengkapan tambahan untuk menyokong kelancaran perkhidmatan kesihatan.

Antara keperluan yang dikenal pasti ialah penghawa dingin tambahan, tilam pesakit, peralatan makmal, dapur memasak dan mesin penyedia air minuman.

“Saya akan mengemukakan keperluan ini kepada Kementerian Kesihatan (KKM) selepas menerima senarai lengkap daripada pihak klinik.

“Saya ingin menegaskan bahawa klinik ini perlu beroperasi dengan jumlah kakitangan dan kelengkapan yang mencukupi supaya dapat memberikan perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat setempat,” katanya.

Yusuf turut memaklumkan bahawa Klinik Kesihatan Semop menerima kira-kira 600 pengunjung setiap bulan, terdiri daripada penduduk kampung dan rumah panjang berhampiran yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan di klinik berkenaan.

Oleh Earl Anek