Jaclyn Victor gemilang di pentas solo bersama MPO

Facebook
WhatsApp
JACLYN Victor membuat persembahan bersama pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) pada konsert solonya yang meraikan perjalanan seni selama 22 tahun dalam industri muzik di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur, malam Sabtu. Foto Instagram Mingleeng

KUALA LUMPUR, 19 Oktober: Selepas empat tahun tampil sebagai penyanyi undangan di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Jaclyn Victor akhirnya merealisasikan impiannya mengadakan konsert solo dengan iringan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), sekali gus meraikan perjalanan seninya selama 22 tahun dalam industri muzik.

Di bawah pimpinan konduktor Ahmad Muriz Che Ros, konsert ‘Jaclyn Victor: Gemilang Bersama MPO’ pada malam Sabtu menjadi wadah buat juara sulung Malaysian Idol itu mengimbau perjalanan kerjayanya menerusi himpunan lagu popular tempatan dan antarabangsa yang menyerlahkan kekuatan vokal, kepelbagaian genre serta kematangannya sebagai penghibur.

Membuka persembahan dengan This Is Me, lagu asal nyanyian Keala Settle daripada runut bunyi filem The Greatest Showman, Jaclyn turut berkongsi kenangan sepanjang pembabitannya dalam industri muzik, termasuk pengalamannya menyertai Malaysian Idol sehingga dinobatkan sebagai juara.

“Setiap lagu mempunyai cerita tersendiri dan apabila saya menyanyikannya semula, ia mengingatkan saya kepada pelbagai kenangan sepanjang perjalanan dalam industri muzik,” katanya.

Menggamit nostalgia zaman awal kemunculannya, Jaclyn kemudian mendendangkan Tunggu Sekejap, lagu klasik nyanyian seniman agung Tan Sri P. Ramlee yang pernah dipersembahkannya ketika menyertai Malaysian Idol dan menjadi antara persembahan yang masih diingati peminat hingga hari ini.

Keupayaannya merentasi pelbagai genre terserlah menerusi Superwoman, yang dipopularkan Karyn White, sebelum beralih kepada alunan jaz menerusi Cheek to Cheek, lagu yang dipopularkan Fred Astaire.

Jaclyn kemudian menguji kemampuan vokalnya menerusi Time to Say Goodbye, yang dipopularkan Andrea Bocelli dan Sarah Brightman, serta karya opera Itali O mio babbino caro ciptaan Giacomo Puccini atas permintaan Ahmad Muriz.

JACLYN Victor menghayati persembahannya ketika menyampaikan rangkaian lagu popular tempatan dan antarabangsa pada konsert Jaclyn Victor: Gemilang Bersama MPO di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur, malam Sabtu. Foto Instagram Mingleeng

Suasana persembahan berubah menjadi lebih santai apabila Jaclyn berseloroh sebelum menyampaikan Beribu Sesalan, lagu yang asalnya dirakam bersama Ning Baizura dan Shila Amzah menerusi projek 3 Suara.

“Lagu ni saya nyanyi seorang saja malam ni, tak apa ke? Ke ada yang volunteer (tawar diri) nak jadi Ning Baizura dan Shila Amzah?” selorohnya, sekali gus mencetuskan suasana mesra sebelum beliau meneruskan persembahan.

Segmen pertama berakhir dengan Ikut Rentakku, lagu rancak yang pernah membolehkan Jaclyn memenangi kategori Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-28, sekali gus membuktikan keupayaannya bukan hanya terletak pada penguasaan lagu balada.

Memasuki segmen kedua, Jaclyn membawa penonton mengimbau fasa awal kerjayanya menerusi Tiada Lagi Indah daripada album sulungnya sebelum membawakan Diamonds Are Forever, lagu yang cukup sinonim dengan Shirley Bassey.

Persembahan diteruskan dengan medley lagu antarabangsa, antaranya You Make Me Feel Like a Natural Woman, Hero, When You Believe dan I Surrender, yang menuntut penguasaan nota tinggi, kawalan vokal serta penghayatan emosi.

Di sebalik kemeriahan persembahan itu, Jaclyn turut berkongsi pengalamannya menyertai pertandingan Singer 2026 serta cabaran mempelajari bahasa Mandarin sebelum menyampaikan Chong Bai, sekali gus memperlihatkan kesungguhannya meneroka pengalaman dan dimensi baharu dalam kerjaya muzik.

Menjelang kemuncak persembahan, Jaclyn menyampaikan Defying Gravity daripada muzikal Wicked sebelum membawakan Gemilang, lagu yang cukup sinonim dengan namanya sejak menjuarai Malaysian Idol.

JACLYN Victor memukau penonton menerusi persembahan vokalnya pada konsert Jaclyn Victor: Gemilang Bersama MPO di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur, malam Sabtu. Foto Instagram Mingleeng

Sebelum menyampaikan lagu itu, beliau membacakan mesej seorang peminat yang berkongsi makna mendalam lagu berkenaan dalam kehidupannya, sekali gus menambahkan sentuhan emosi pada malam yang sarat dengan nostalgia itu.

Konsert berakhir dengan Di Bawah Pohon Asmara. Jaclyn mengajak penonton berdiri dan bersama-sama memeriahkan persembahan sebagai penutup sambutan perjalanan seninya selama lebih dua dekad.

Sebelum ini, Jaclyn pernah tampil sebagai penyanyi undangan dalam beberapa konsert MPO, antaranya Aubrey Suwito & Friends (2017), Judika & the MPO (2019) dan The Magnificent Seven (2022).

Konsert solo itu turut meletakkan Jaclyn dalam kalangan penyanyi tempatan yang pernah membuat persembahan bersama MPO, termasuk Tan Sri SM Salim, Datuk Seri Sheila Majid, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk M. Nasir. – Bernama