MARUDI, 19 Oktober: Sebuah jalan kecil di belakang Rumah Sigan, Sungai Muam, Marudi, hampir sepenuhnya ditutupi tanah susur susulan hujan lebat sejak Sabtu lalu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi menerima panggilan berhubung kejadian itu sebelum mengarahkan tiga anggota yang diketuai Sjn. (PA) Siti Naquiah Abdullah ke lokasi untuk memantau keadaan.
Katanya, pemeriksaan di lokasi mendapati tanah susur menutupi hampir keseluruhan jalan kecil di belakang salah satu pintu rumah panjang berkenaan.
Beliau menasihati penduduk supaya sentiasa berwaspada terhadap keadaan tanah di sekitar kawasan kediaman masing-masing dan berpindah ke tempat yang lebih selamat sekiranya keadaan mengancam keselamatan mereka.
Orang ramai juga perlu peka terhadap sebarang perubahan keadaan tanah, khususnya ketika hujan berterusan, bagi mengelakkan risiko kejadian tidak diingini.
Oleh Jiku Juguong




