MIRI, 18 Oktober: Gara-gara mahu mengelak membayar hutang RM30, seorang lelaki dipercayai sanggup membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun lelaki bersenjatakan besi di Lutong Baru, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.37 petang, semalam.
Menurutnya, lelaki tempatan berusia 29 tahun terbabit mendakwa telefon bimbit miliknya dan kunci motosikal rakannya dirampas seorang lelaki bersenjatakan sebatang besi dalam kejadian kira-kira 3.00 pagi di hadapan sebuah kedai dobi di Lutong Baru.
“Suspek didakwa melarikan diri menaiki sebuah kereta berwarna putih dengan nombor pendaftaran tidak diketahui.
“Bagaimanapun, siasatan menyeluruh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD mendapati terdapat beberapa percanggahan dalam maklumat diberikan pengadu.
“Hasil risikan lanjut turut menemukan bukti bahawa kejadian samun yang dilaporkan itu sebenarnya tidak berlaku,” katanya di sini.
Mohd Farhan berkata, lelaki berkenaan akhirnya mengakui laporan polis dibuatnya adalah tidak benar, manakala telefon bimbit dan kunci motosikal yang didakwa terbabit sebenarnya sudah berada dalam simpanan rakannya sebelum laporan dibuat.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh pegawai penyiasat berhubung perbuatan memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Oleh Liong Chai Ling





