MIRI, 18 Oktober: Sebanyak 22 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik manakala seorang individu ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Bersepadu di sekitar bandar raya ini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama Bahagian Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah itu bermula 11.00 malam semalam hingga 3.30 pagi tadi.
Beliau berkata operasi tertumpu di bandar Miri, Jalan Taman Tunku, Piasau Jaya, Senadin dan Tudan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya serta ketenteraman awam.
“Seramai 23 lelaki dan dua perempuan diperiksa membabitkan 18 motosikal dan dua motokar.
“Sebanyak 22 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, manakala seorang individu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara kesalahan dikesan termasuk menunggang tanpa lesen memandu, mengubah suai struktur motosikal dan ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran serta menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
Mohd Farhan berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan samseng jalanan, khususnya perbuatan yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang melanggar spesifikasi ditetapkan.
Maklumat berkaitan kegiatan samseng jalanan boleh disalurkan kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
Oleh Liong Chai Ling





