SPAOH, 18 Oktober: Kelibat seekor anak ular sawa yang muncul dari lubang pengudaraan pada dinding rumah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penghuni sebuah rumah di Kampung Darat Serembang sebelum reptilia sepanjang 0.6 meter itu berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh semalam.
Menurut kenyataan APM Daerah Spaoh, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan daripada pengadu pada 7.28 malam selepas ibu pengadu menyedari kehadiran ular berkenaan pada dinding rumah mereka.
Susulan aduan itu, Skuad Bravo yang terdiri daripada empat anggota digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.
Setibanya di lokasi, anggota APM menjalankan pemeriksaan sebelum menemukan anak ular sawa itu masih bersembunyi di dalam lubang pengudaraan pada dinding rumah.
Dengan menggunakan teknik menyepit secara berhati-hati, anggota penyelamat berjaya menangkap reptilia berkenaan tanpa sebarang kecederaan.
Ular itu kemudian dimasukkan ke dalam bekas khas sebelum dibawa ke PKOD APM Spaoh untuk tindakan selanjutnya.
Operasi berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini, sekali gus membolehkan penghuni rumah kembali berasa lega.
APM Daerah Spaoh menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba menangkap sendiri haiwan yang berbahaya kerana tindakan itu boleh mengundang risiko kecederaan.
Orang ramai yang berdepan situasi kecemasan boleh menghubungi PKOD APM Spaoh menerusi talian 083-473006 atau talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.
Oleh Adi Safarman





