Sarang tebuan tanah sebesar tong sampah dimusnahkan APM Spaoh

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Spaoh berjaya memusnahkan sarang tebuan tanah dianggarkan sebesar tong sampah hitam di Kampung Bungin. Foto APM Spaoh

SPAOH, 18 Oktober: Sarang tebuan tanah yang dianggarkan sebesar tong sampah hitam dan tersembunyi dalam semak berhampiran pokok sawit di Kampung Bungin berjaya dimusnahkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh semalam.

Menurut kenyataan APM Daerah Spaoh, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Spaoh menerima panggilan kecemasan daripada seorang pemilik kebun sawit pada 5.45 petang selepas beliau mendapati tebuan berterbangan di kawasan kebunnya.

Kehadiran serangga berbahaya itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pemilik kebun dan pekerja yang menjalankan aktiviti di kawasan berkenaan.

Susulan aduan itu, Skuad Bravo yang terdiri daripada empat anggota diketuai Lans Koperal Pertahanan Awam (PA) Junai Abdul Samat digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi.

Setibanya di lokasi, anggota yang memakai peralatan perlindungan diri, termasuk pakaian khas untuk menangani tebuan, menjalankan pemeriksaan sebelum menemukan sarang berkenaan yang tersembunyi di dalam semak.

Saiz sarang yang besar memerlukan anggota bertindak dengan berhati-hati bagi memastikan operasi pemusnahan dapat dilaksanakan dengan selamat.

Menerusi Operasi Memusnahkan Sarang Serangga (MSS), anggota APM menggunakan kaedah pembakaran secara terkawal untuk memusnahkan sarang itu sepenuhnya.

Operasi berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan melibatkan anggota penyelamat atau orang awam.

APM Daerah Spaoh menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko dengan cuba memusnahkan sarang tebuan sendiri kerana tindakan itu boleh mengundang bahaya.

Orang ramai yang menemui sarang tebuan atau berdepan kecemasan boleh menghubungi PKOD APM Spaoh menerusi talian 083-473006 atau talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.

Oleh Adi Safarman