SARIKEI, 18 Oktober: Seramai 32 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei menjalani ujian praktikal kelangsungan hidup di air bagi menguji kemahiran berenang, keupayaan mengapungkan diri dan ketahanan fizikal ketika berada di dalam air.
Ketua BBP Sarikei, Vincent Baling berkata, ujian yang dijalankan di Kolam Renang Sarikei pada kelmarin melibatkan tiga komponen utama yang perlu dilaksanakan oleh anggota dalam tempoh dan jarak yang ditetapkan.
Katanya, ujian tersebut diadakan dari 8.30 hingga 10.30 pagi, disertai anggota daripada pasukan Alpha, Bravo dan Charlie.
“Seramai 32 anggota BBP Sarikei terlibat dalam ujian praktikal kelangsungan hidup di air yang diadakan di Kolam Renang Sarikei.
“Ujian ini merangkumi tiga komponen utama, iaitu berenang menggunakan sebarang gaya sejauh 25 meter dalam tempoh tiga minit, melakukan apungan selamat selama 10 minit dan berenang di bawah permukaan air sejauh lima meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, setiap komponen menguji aspek kemahiran yang berbeza, termasuk kebolehan bergerak di dalam air, mengekalkan kedudukan terapung dan mengawal pergerakan ketika berada di bawah permukaan air.
“Ujian berenang sejauh 25 meter memberi tumpuan kepada keupayaan anggota menyelesaikan jarak yang ditetapkan dalam tempoh tiga minit.
“Manakala, ujian apungan selamat selama 10 minit menilai kebolehan anggota mengekalkan diri di permukaan air, manakala ujian berenang di bawah permukaan air sejauh lima meter menguji kemahiran pergerakan ketika menyelam,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan ujian tersebut merupakan antara aktiviti penilaian kemahiran praktikal di peringkat BBP Sarikei, khususnya dalam aspek kelangsungan hidup dan keselamatan ketika berada di dalam air.
Oleh Earl Anek





