Riang Ria 2026 himpun 3,500 peserta, perkukuh hubungan kekeluargaan

Facebook
WhatsApp
KEMERIAHAN program Riang Ria 2026 anjuran Farley Kuching.

KUCHING, 18 Oktober: Seramai 3,500 peserta menyertai program Riang Ria 2026 anjuran Farley Kuching yang menawarkan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga, di sini, hari ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata, program itu bukan sekadar larian santai, sebaliknya turut memberi peluang kepada ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa bersama.

“Penganjuran aktiviti seperti ini penting memandangkan penggunaan teknologi pada masa kini semakin mengurangkan interaksi secara bersemuka dalam kalangan masyarakat.

PELEPASAN acara larian program Riang Ria 2026 anjuran Farley Kuching.

“Segala-galanya bermula dari rumah, jadi kita perlu mengeratkan hubungan dalam keluarga terlebih dahulu sebelum menggalakkan hubungan dengan masyarakat sekeliling.

“Apabila keluarga dapat meluangkan masa bersama, hubungan itu boleh diperluaskan kepada jiran dan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Riang Ria 2026 anjuran Farley Kuching, hari ini.

Wee berkata, sambutan terhadap program berkenaan amat menggalakkan apabila pertandingan mewarna sahaja berjaya menarik penyertaan lebih 1,500 kanak-kanak.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi dapat bekerjasama menganjurkan aktiviti yang melibatkan penyertaan keluarga.

Katanya, kerjasama antara penganjur juga membolehkan sesuatu program diperluaskan kepada lebih ramai peserta berbanding dilaksanakan secara berasingan.

Beliau turut menjelaskan bahawa sesuatu aktiviti tidak semestinya perlu menjadi sebahagian daripada program rasmi Hari Sukan Negara, sebaliknya yang penting adalah penganjurannya diteruskan.

Untuk rekod, Riang Ria 2026 menampilkan pelbagai aktiviti termasuk larian santai sejauh empat kilometer, Zumba, permainan, cabutan bertuah dan pertandingan mewarna.

Program itu turut menyediakan pemeriksaan kesihatan oleh Borneo Medical Centre (BMC), pemeriksaan pergigian oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta pameran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Setiap peserta turut menerima beg cenderamata dan kotak kejutan, selain berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.

Oleh Masrin Affirah