Tanah runtuh berhampiran rumah panjang, penduduk Rumah Saging diingatkan berwaspada

Facebook
WhatsApp
KEJADIAN tanah runtuh dilaporkan berlaku hanya kira-kira 1.2 meter dari bahagian belakang Rumah Saging, Panggil. Foto APM Sri Aman

SRI AMAN, 17 Oktober: Penduduk Rumah Saging, Panggil, diminta supaya sentiasa berwaspada susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira 1.2 meter dari bahagian belakang rumah panjang berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan di lokasi dilaporkan terkawal ketika pemantauan dijalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sri Aman hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang, berkata pemantauan itu bertujuan menilai keadaan semasa di lokasi serta memastikan keselamatan penduduk terus diberi perhatian.

Menurutnya, kejadian yang berlaku pada 6 Oktober lalu itu dikesan di belakang bilik No. 10, yang dihuni lapan orang, terdiri daripada lima orang dewasa dan tiga kanak-kanak.

“Keadaan lokasi terkawal dan cuaca baik ketika pemantauan dibuat. Nasihat keselamatan telah diberikan kepada penduduk supaya sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemantauan itu dilaksanakan oleh tiga anggota APM Daerah Sri Aman menggunakan kenderaan penyelamat ringan JMC (LRV).

Pasukan APM turut dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan bersedia digerakkan untuk melaksanakan tugasan lain sekiranya diperlukan.

Walaupun keadaan dilaporkan terkawal, penduduk dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah risiko tanah runtuh, terutama ketika perubahan cuaca atau sekiranya terdapat tanda-tanda pergerakan tanah.

Penduduk juga diminta mengelakkan kawasan berisiko dan segera melaporkan sebarang perubahan keadaan tanah kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sri Aman menerusi talian 083-320973.

Oleh Adi Safarman